malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
2 orang tempatan, 2 warga China disyaki koronavirus ditahan di wad isolasi
Diterbitkan:  Jan 26, 2020 6:07 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:51 AM
ADS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan setakat ini empat individu telah dikuarantin di hospital selepas disyaki dijangkiti koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka - dua warga tempatan dan dua warga China - diletakkan dalam isolasi di hospital berasingan dan keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.

"Kesemua empat kes positif dalam keadaan stabil dan sedang dipantau dalam wad isolasi di hospital-hospital KKM yang telah dikenal pasti sebagai hospital rujukan bagi 2019-nCoV (koronavirus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat kes itu, menurut Noor Hisham, adalah sebahagian daripada 23 kes patient under investigation (PUI) jangkitan novel koronavirus, yang turut merangkumi seorang warga China yang didapati positif, serta 18 orang lagi termasuk 12 warga Malaysia, yang didapati negatif.

"Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit novel koronavirus.

"Kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes. Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari China," katanya lagi.


Baca: Wabak coronavirus: Apa yang kami tahu setakat ini


Semalam, KKM dalam sidang media mengesahkan kes jangkitan koronavirus pertama dalam negara, melibatkan empat warga China yang masuk melalui Singapura.

Pihak berkuasa juga menahan pasangan warga China bersama anak perempuan berusia dua tahun, ketika cuba meninggalkan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selepas enggan memasukkan anak mereka di wad pengasingan di Johor.

Setakat ini, angka kematian akibat virus itu di China mencecah 56 orang, dengan lebih 2,000 orang mendapat jangkitan di seluruh dunia.

Lihat Komen