malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Limau mandarin dijangkiti virus' - berita palsu virus Wuhan merebak
Diterbitkan:  Jan 25, 2020 9:05 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:42 AM
ADS

Berita palsu mengenai koronavirus jenis baru di Malaysia mula merebak di media sosial, di tengah-tengah kebimbangan orang ramai mengenai penyakit ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, satu mesej palsu yang tersebar adalah berkenaan seorang banduan yang mati mengejut selepas makan limau mandarin - dan buah limau sebegitu dari China perlu dielakkan kerana telah dijangkiti oleh virus Wuhan.

"Mohon untuk tidak sebarkan atau percaya dengan berita tersebut," kata kementerian pada hantaran di Facebook.


Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menafikan mesej tular lain mengenai penuntut Malaysia yang belajar di Wuhan, telah balik ke negara ini dan kini sedang ditahan di hospital di Ipoh selepas positif ujian terhadap virus itu.


BACA BERKAITAN: Wabak coronavirus: Apa yang kami tahu setakat ini


"Setakat ini tiada kes 2019-nCov yang dikesan di Ipoh. Namun telah ditularkan di social media yang kononnya ada seorang pelajar dari Wuhan kembali ke malaysia dan telah masuk ke Ward di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah dikesan positif 2019-nCov. 

"Keputusan ujian daripada makmal IMR mengesahkan negatif untuk 2019-nCov. Saya ingin sarankan agar netizen di social media jangan tularkan dan cetuskan berita palsu yang tidak benar atau belum disahkan," kata beliau pada hantaran di Facebook.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga warga China telah diuji positif virus Wuhan di Johor.

Semalam, terdapat laporan mengenai empat kes yang disyaki, tetapi kesemua empat orang itu kemudian disahkan negatif ujian virus itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudiannya berkata tidak ada rancangan segera untuk menghalang ketibaan pelancong dari China.

Bagaimanapun, Malaysia Airports Holdings Berhad menyatakan pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk menyaring penumpang antarabangsa di lapangan terbang di seluruh negara.

Lihat Komen