malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Wabak koronavirus: Apa yang kami tahu setakat ini
ADS

KORONAVIRUS | Pengumuman Kementerian Kesihatan awal hari ini, bahawa tiga pelancong China di Johor diuji positif jangkitan baru koronavirus mengesahkan wabak itu telah sampai ke sini.

Malaysia kini termasuk 11 buah negara lain yang dikesan wabak berjangkit itu.

Wabak ini muncul pada saat jutaan orang di seluruh dunia, khususnya di China menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang menyaksikan banyak perjalanan dibuat.

Ini yang kami tahu setakat ini:

(Bilangan kes yang dikesan, kematian dan negara yang terjejas adalah tepat pada masa berita ini ditulis)

Apa itu koronavirus dan di mana ia bermula?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak koronavirus dikesan selepas organisasi itu dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar Wuhan, di wilayah Hubei, China.

WHO dalam laman sesawangnya berkata, pihak berkuasa China pada 7 Januari lalu mengesahkan Koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.

Virus itu tidak sepadan dengan virus lain yang diketahui, dan mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak yang diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan bagaimana kesan jangkitannya terhadap manusia.

"Virus baru itu adalah koronavirus, yang merupakan keluarga yang termasuk selsema biasa, dan virus seperti Sars dan Mers," katanya.

Virus baru ini buat sementara waktu dinamakan sebagai "2019-nCoV."

Bagaimana Koronavirus memberi kesan kepada manusia?

Menurut WHO, koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan sindrom pernafasan Timur Tengah (Mers-CoV).

"Tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas.

"Dalam kes yang lebih teruk, jangkitan boleh menyebabkan radang paru-paru, sindrom pernafasan akut yang teruk, kegagalan buah pinggang dan malahan membawa maut," kata organisasi kesihatan itu.

Bilangan kes yang disahkan

Sehingga kini, 1,300 orang telah dijangkiti virus itu di seluruh dunia dan majoritinya ialah warganegara China.

Bilangan korban

Setakat pukul 4 petang hari ini, angka kematian wabak koronavirus mencecah 41 orang dan semuanya ialah pesakit di China.

Terbaru, seorang doktor di hospital di wilayah Hubei, China, Liang Wudong, 62.

Beliau ialah antara doktor yang bertanggungjawab menangani kes wabak koronavirus yang bermula di Wuhan.

Negara dengan kes yang disahkan

Menurut laporan berita terkini Reuters, selain China di mana virus itu mula dikesan, 11 negara lain telah mengesahkan kes jangkitan koronavirus.

Mereka adalah Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia.

Adakah ubat atau vaksin untuk menangani koronavirus?

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, tidak ada ubat atau vaksin untuk virus baru itu.

Beliau berkata satu-satunya rawatan yang boleh digunakan untuk pesakit positif dengan virus tersebut adalah melalui kuarantin dan merawat gejala seperti batuk, selesema dan demam.

Bagaimanapun, kerja-kerja untuk menghasilkan vaksin tersebut sedang diusahakan oleh banyak agensi kesihatan di seluruh dunia.

Menurut Wall Street Journal, beberapa pembuat ubat-ubatan di Amerika Syarikat (AS) dan penyelidik di University of Queensland di Australia kini antara pihak yang sedang bekerja keras membangunkan vaksin virus baru ini.

CNN juga melaporkan bahawa National Institutes of Health, agensi utama kerajaan AS yang bertanggungjawab untuk penyelidikan kesihatan bioperubatan dan penyelidikan kesihatan awam, juga sedang menghasilkan vaksin.

Satu pasukan saintis di Texas, New York dan China juga turut bekerja untuk menghasilkan vaksin terbabit, kata CNN, yang memetik Dr Peter Hotez, seorang saintis vaksin di Baylor College of Medicine di Houston.

Berapa banyak kes Koronavirus di Malaysia?

Setakat tengah hari Sabtu ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat hanya tiga kes positif yang melibatkan tiga pelancong dari Wuhan, China.

Mereka ialah seorang nenek berusia 66 tahun dan dua orang cucu berumur dua tahun dan 11 tahun.

Kesemua mereka mempunyai hubungan dengan dua lelaki yang telah diuji positif koronavirus di Singapura pada 22 Januari lalu.

Dzulkefly berkata ketiga-tiga pesakit itu telah tiba di Johor dari Singapura pada 23 Januari bersama-sama dengan lima yang lain dan telah dikuarantin di hotel selepas dimaklumkan oleh rakan sejawatannya dari Singapura.

Hasil keputusan ujian lapan individu itu diperoleh lewat malam tadi, dan pihak berkuasa kesihatan telah membawa dua kanak-kanak itu dan nenek mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk dimasukkan ke wad pengasingan dan dilaporkan stabil.

Sementara itu, lima yang lain dilapor negatif termasuk ibu kanak-kanak yang didapati positif virus tersebut sebelum ini dan dia dibenarkan berada di Hospital Sungai Buloh untuk menjaga anak-anaknya dengan pengawasan ketat oleh kakitangan kesihatan.

Empat daripada mereka telah meninggalkan Malaysia untuk kembali ke China pada pagi Sabtu.

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia?

Kementerian Kesihatan telah mengaktifkan semua Pasukan Tindakan Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) ekoran kes novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini yang dikesan semalam.

Pasukan-pasukan itu ditugaskan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak (contact tracing activites) dan ditempatkan di fasiliti kementerian di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik.

Semua kakitangan perkhidmatan kesihatan juga telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius terhadap pemakaian kelengkapan perlindungan mereka dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan yang optimum pada setiap masa.

Dzulkefly juga memaklumkan kepada pemberita bahawa pihaknya berhasrat mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung langkah megawal kemasukan pelancong asing khususnya dari China.

Dzulkefly berkata ia bagi menangani penyebaran wabak koronavirus di dalam negara.

Syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air dan AirAsia telah membekukan semua penerbangan ke dan dari Wuhan susulan wabak ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, pihaknya bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB ialah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

Sementara itu, misi diplomatik Malaysia, termasuk kedutaan di Beijing, sedang menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan untuk membantu rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas oleh wabak koronavirus itu.

Selepas gesaan daripada orang ramai, Malaysia pada 27 Jan mengumumkan sekatan sementara untuk kemasukan rakyat negara China yang tinggal di Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di sekitarnya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kerajaan buat sementara menggantung semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual, terhadap warga China yang tinggal di Wuhan dan Hubei.

Apa yang harus anda lakukan untuk meminimumkan risiko dijangkiti Koronavirus?

Menteri kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan.

Sekiranya masih perlu melawat negara itu, mereka dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan menggunakan sabun, menggunakan pensanitasi tangan dan mengenakan topeng muka.

Mereka juga dinasihatkan mengelak mengunjungi tempat tumpuan ramai, ladang haiwan ternakan, pasar yang menjual binatang hidup, pusat sembelihan dan tidak menyentuh sebarang jenis haiwan.

Semasa dalam tempoh lawatan juga, dinasihat elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

Mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

WHO juga turut membuat saranan yang sama.

[Baca berita asal]

Lihat Komen