malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Koronavirus: Rakyat Malaysia dinasihatkan tangguh kunjungan ke China
ADS

Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguh perjalanan ke China berikutan wabak koronavirus kecuali atas urusan penting yang tidak boleh dielakkan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam sidang media mengenai kes positif koronavirus di Malaysia melibatkan tiga warga China, Dr Dzulkefly menasihati orang ramai mengamalkan langkah pencegahan khususnya kepada pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia.

“Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit, alami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.

Mereka yang berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan juga perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat, katanya.

“Semasa dalam tempoh lawatan (ke China) sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menasihati orang ramai supaya mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan.

“Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan,” katanya.

Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan daripada memakan sebarang produk haiwan mentah atau tidak dimasak dengan sempurna, katanya.

Dr Dzulkefly berkata Malaysia melipatgandakan kesiapsiagaan dan pemantauan 24 jam susulan pengesahan tiga kes positif jangkitan pertama koronavirus di negara ini, dengan pemantauan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara kini diperketat.

“Mesin termal (di pintu masuk negara) kesemuanya berfungsi dan mencukupi. Setakat ini keadaan adalah dalam kawalan,” katanya.

Dengan perkembangan terkini, Pasukan Tindakan Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) Kementerian Kesihatan di lapangan diaktifkan serta-merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

“Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan kes yang memenuhi kriteria akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya.

Dr Dzulkefly turut menasihati orang ramai supaya meningkatkan tahap kesedaran dan kewaspadaan berhubung simptom koronavirus.

- Bernama

Lihat Komen