BERITA

KKM akan bincang kemungkinan kawal kemasukan pelancong dari China

Hariz Mohd & Shakira Buang

25 Jan 2020, 6:18 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung langkah megawal memasukkan pelancong asing khususnya dari China.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia bagi menangani penyebaran wabak koronavirus di dalam negara.

“Kita bercadang untuk berbincang dengan KDN dan saya pun telah memberitahu perdana menteri dan timbalan perdana menteri berkenaan pengesanan tiga kes (jangkitan koronavirus yang pertama di Malaysia).

“Seterusnya saya yakin dapat berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk kita pastikan apakah langkah-langkah seterusnya.

“Itu sedikit di luar bidang kuasa kami tapi kami boleh cadangkan langkah yang perlu diambil,” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas sama ada kerajaan akan menimbang untuk mengadakan sekatan terhadap kemasukan pelancong dari China.

Setakat jam sepuluh pagi tadi, angka korban wabak koronavirus di China dilaporkan mencecah 41 orang, meningkat daripada 26 pada Jumaat, dengan 1,300 orang dijangkiti virus itu di seluruh dunia.

Menurut Reuters yang memetik Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, sejumlah 1,287 kes koronavirus telah disahkan di China setakat semalam.

Semua kes maut yang baru berlaku di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei yang dipercayai menjadi tempat virus itu mula tersebar, kata laporan itu lagi.

Hampir semua penerbangan ke bandar-bandar tersebut dibatalkan dan sekatan di jalan keluar utama diwujudkan.

Kes kematian setakat ini hanya berlaku di China, tetapi virus itu dilaporkan turut dikesan di Thailand, Vietnam, Singapora, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, KKM turut megesahkan mengesan kes pertama jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV), melibatkan tiga warga China yang mempunyai kaitan dengan dua warga negara itu yang disahkan positif dengan virus itu di Singapura tiga hari lalu.

Sementara itu, seorang warga Malaysia yang mengunjungi China baru-baru ini belum disahkan dijangkiti virus itu dan kini ditahan di Hospital Kuala Lumpur.

Koronavirus boleh menyebabkan pneumonia yang pada keadaan tertentu mengakibatkan kematian. Simptom virus tersebut termasuk demam, batuk dan kesukaran pernafasan.

Setakat ini, kerajaan negeri Kedah telah memperketatkan saringan melalui kaunter imbasan terma di pintu masuk sempadan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi mengekang penularan koronavirus.

Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut ditugaskan di pintu sempadan bagi menjalankan pemantauan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.