malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mujahid: Tiada campur tangan politik dalam penjualan aset TH Plantations
Diterbitkan:  Jan 25, 2020 3:22 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata pengurusan Tabung Haji Plantations (THP) diberi kepercayaan penuh dalam menjalankan jual beli aset miliknya.

Mujahid merujuk penjualan sebahagian daripada ladang kelapa sawit milik Tabung Haji Plantations (THP) kepada Tamaco Plantations Sdn Bhd pada harga RM170 juta, yang dibangkitkan beberapa pihak, antaranya bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sepanjang menjadi menteri, beliau berkata agensi di bawahnya diberi kepercayaan penuh menjalankan urusan tanpa campur tangan politik.

"Perkara sama terhadap THP. Tabung Haji hanya memiliki 72 peratus saham dalam THP dan saya langsung tidak mencampuri sebarang urusan jual beli melibatkan THP.

"Ini kerana saya berkeyakinan tinggi bahawa pihak pengurusan THP yang baru dapat menyelamatkan syarikat ini daripada terus mengalami kerugian," katanya dalam kenyataan, sambil menambah transaksi jual beli adalah perkara biasa dalam mana-mana syarikat.

Asyraf Wajdi Dusuki

Semalam, Asyraf dalam sidang media mendesak Mujahid agar menyatakan pendirian dan mengambil tanggungjawab terhadap penjualan aset THP tersebut, yang dilaporkan melibatkan 6,513.80 hektar ladang kelapa sawit di Bintulu dan Sibu, Sarawak.

Asyraf juga berkata pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung penjualan itu, terutama berkenaan dakwaan pihak yang terlibat menukar jurunilai menyebabkan nilai hartanah itu menyusut daripada RM380 juta kepada RM170 juta.

Untuk rekod, nilai RM380 juta itu adalah pada 2017.

Selain itu, Asyraf juga mendesak THP menghentikan penjualan baki 11 anak syarikat - seperti yang telah diluluskan lembaga pengarah syarikat itu - dan berkata Mujahid patut meletakkan jawatan jika penjualan diteruskan.

'Mengapa beli dulu?'

Mengulas lanjut, Mujahid menyambut baik hasrat Asyraf untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai bukti kukuh berlakunya penyelewengan semasa urusan penjualan itu.

Namun beliau membangkitkan persoalan lain iaitu mengapa berlaku pembelian ladang tersebut pada masa lalu sehingga ia "terpaksa dijual dan THP mengalami kerugian?".

"Apa-apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada Asyraf kerana sanggup buat sidang media bagi membuktikan kita kini berada di landasan benar dengan menjalankan urusan pentadbiran secara telus tanpa sebarang campur tangan politik," katanya lagi.

Menurut Berita Harian semalam, CEO THP Muzmi Mohamed berkata penjualan tersebut adalah sebahagian langkah rasionalisasi dan melibatkan ladang yang tidak mempamerkan pencapaian mengikut jangkaan.

“Malah aset berkenaan menambah beban kewangan kepada THP secara keseluruhannya...Kita boleh memilih untuk tidak membuat sesuatu dan terus memegang kepada aset itu tetapi akibatnya amat parah kepada THP, dan seterusnya kepada pendeposit Tabung Haji yang secara tidak langsung memiliki syarikat ini," katanya seperti dipetik.

Katanya lagi, keputusan itu tidak dibuat secara "membuta tuli" tetapi dengan terancang untuk menangani masalah syarikat yang disifatkannya dalam keadaan "parah dari segi kewangan".

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen