malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai polis tak mengaku salah tuduhan rasuah
ADS

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor hari ini tidak mengaku bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah RM6,000 sebagai dorongan untuk menutup kes yang disiasat olehnya.

Bagi pertuduhan pertama, pada 30 November 2017 pegawai inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ketika itu didakwa menerima rasuah RM5,000 daripada seorang individu di Restoran Chandran Corner, Kuala Lumpur sebagai dorongan kononnya untuk menutup kes yang disiasat di bawah seksyen 411 Kanun Keseksaan terhadapnya.

Bagi pertuduhan kedua beliau dituduh menerima RM1,000 pada 5 Disember 2017 daripada individu yang sama bagi tujuan yang sama di hadapan Maybank Cawangan Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 38 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pihak pendakwa raya membaca tuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Hakim Azman Ahmad kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Azman mengarahkan tertuduh supaya melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh dituduh di bawah Akta SPRM Seksyen 16 (a)(B) dan 17 (a) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan yang diterima.

Kes akan disebut semula pada 24 Februari 2020.

Lihat Komen