malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Wang Umno Kelantan RM33K disita SPRM kini milik kerajaan
Diterbitkan:  Jan 24, 2020 11:23 AM
Dikemaskini: 4:49 AM
ADS

Wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Umno Kelantan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya dilucut hak dan kini menjadi milik Kerajaan Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh dipetik Bernama membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melucut hak harta berkenaan dengan alasan bahawa pemohon (pendakwaan) berjaya membuktikan bahawa wang itu adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Kerajaan berhak ke atas jumlah pokok dan faedah yang disimpan dalam satu akaun CIMB,” kata hakim itu.

Ahmad Shahrir dalam penghakimannya, berkata pendakwa raya berjaya membuktikan wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Wang tersebut yang disita SPRM pada tahun 2018 selepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nik Haslinie Hashim berkata permohonan pelucuthakan oleh pendakwaan memenuhi Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan diwakili peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal.

Tindakan pelucuthakan itu berikutan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tahun lepas untuk memperoleh semula dana RM270 juta daripada 1MDB.

Dana itu didakwa dipindahkan dari akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak kepada pihak ketiga.

Lihat Komen