malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bung Moktar: Pembatalan PSS kemenangan rakyat Sabah
ADS

Umno Sabah tidak mempolitikkan isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS), sebaliknya hanya bertindak menyuarakan bantahan rakyat terhadap pelaksanaannya, kata Bung Moktar Radin.

Pengerusi BN Sabah itu berkata keputusan kerajaan membatalkan hasrat pelaksanaan PSS selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah satu kemenangan buat rakyat Sabah.

"Kita bukanya mempolitikkan isu ini, tapi apa yang jelas kita suarakan bantahan rakyat Sabah kepada perlaksanaan PSS.

"Ini adalah kemenangan rakyat Sabah, saya ucapkan tahniah kepada pengundi-pengundi di PRK Kimanis yang telah membuat keputusan tepat," katanya kepada Malaysiakini, petang ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan negeri yang membatalkan pelaksanaan PSS yang sepatutnya dijadualkan bermula Jun ini.

Shafie berkata, keputusan itu diambil selepas Warisan tewas dalam PRK Kimanis yang merupakan manifestasi penolakan rakyat Sabah terhadap pelaksanaan PSS.

Kerajaan bercadang melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

BN ketika kempen PRK Kimanis menjadikan isu PSS sebagai bahan kempen dan berjaya meyakinkan pengundi sekaligus memenangkan calon BN.

Dalam pada itu, Bung berkata Umno BN selaku pembangkang di Sabah menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan hasrat bagi menguatkuasakan PSS.

Katanya lagi, PSS adalah kebimbangan rakyat Sabah terhadap kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) ke negeri itu yang menurutnya boleh membawa ancaman dalam pelbagai perkara termasuk ekonomi, politik dan keselamatan.

"BN bersama rakan-rakan dari blok Pembangkang termasuk NGO menyuarakan kebimbangan rakyat Sabah tentang perlaksanaan PSS ini.

"Ini kerana kekhuatiran timbul bahawa pelaksanaan PSS akan membawa pelbagai implikasi negatif kepada rakyat Sabah," katanya lagi.

Lihat Komen