malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AirAsia, Malindo Air gantung penerbangan ke Wuhan
Diterbitkan:  Jan 23, 2020 5:41 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:29 AM
ADS

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia dan Malindo Air menggantung penerbangan ke Wuhan, China berikutan penularan wabak koronavirus di bandar berkenaan.

AirAsia, dalam satu kenyataan, berkata semua penerbangan antara Wuhan ke Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket digantung.

"AirAsia mematuhi nasihat dan peraturan daripada pihak berkuasa kesihatan sedunia dan tempatan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu menambah ia akan mengubah laluan ke mana-mana stesen penerbangan di tanah besar China yang lain atau mengembalikan tambang kepada penumpang.

Sementara itu, Malindo Air telah menggantung serta-merta penerbangan antarabangsanya di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe, China.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini, penggantungan penerbangan tersebut adalah sebagai tindak balas terhadap larangan perjalanan yang dikeluarkan pegawai di Wuhan berikutan penularan wabak koronavirus.

Penumpang yang menempah perjalanan dari 23 Jan hingga 8 Feb 2020 boleh menghubungi pusat panggilan atau datang ke kaunter tiket untuk bantuan lanjut, lapor Bernama.

 

Wabak koronavirus yang dipercayai berasal dari Wuhan, telah menjangkiti 570 orang dan didakwa meragut nyawa seramai 17 orang setakat ini.

Wabak itu itu kini dikesan merebak ke Taiwan, Jepun, Thailand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Beberapa negara, termasuk Malaysia, telah meningkatkan pemantauan di lapangan terbang untuk mengelakkan penyebaran virus berkenaan.

Sementara itu, Beijing telah mengenakan perintah kuarantin terhadap Wuhan yang didiami seramai 11 juta penduduk.

Semua pengangkutan awam seperti bas, subway dan feri dihentikan sementara bermula 23 Januari.

Lihat Komen