malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Diskaun tol: Lebuh raya mana dan apa jenis kenderaan layak?
Diterbitkan:  Jan 23, 2020 5:23 PM
Dikemaskini: 11:48 AM
ADS

Kerajaan hari ini mengeluarkan butiran mengenai pemberian diskaun 18 peratus yang akan dinikmati pengguna lebuh raya di bawah seliaan Plus Malaysia Berhad (Plus).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan hari ini, berkata diskaun itu akan dikenakan bagi lebuh raya berikut:

1) Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

2) Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

3) Link Tengah Lebuhraya Utara-Selatan (ELITE).

4) Lebuhraya Link Kedua (LINKEDUA).

5) Fasa Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT).

6) Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

7) Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE).

8) Jambatan Pulau Pinang.

Beliau juga menjelaskan bahawa diskaun itu hanya akan dikenakan kepada kenderaan jenis berikut:

1) Kenderaan penumpang (Kelas 1).

2) Teksi (Kelas 4).

3) Bas (Kelas 5).

Diskaun berkenaan tidak akan dikenakan kepada kenderaan berat komersial (Kelas 2 dan Kelas 3).

Tidak seperti masa lalu di mana harga tol akan meningkat antara setiap tiga hingga lima tahun, namun penyusunan semula ini menyaksikan kadar tol baharu ini tetap sama sehingga akhir konsesi.

Sebagai sebahagian daripada konsesi yang disusun semula, ia juga telah dilanjutkan dari tahun 2038 sehingga 2058.

Perjanjian konsesi Plus setakat ini telah dilanjut sebanyak empat kali sejak tahun 1999 yang disusuli dengan kenaikan kadar tol. Tetapi lanjutan konsesi kali inimenyaksikan buat pertama kali kadar tol diturunkan.

Pada tahun 1999, kerajaan melanjutkan konsesi Plus sebanyak 12 tahun hingga 2030 dan kutipan tol akan meningkat sebanyak 26 peratus setiap tiga hingga lima tahun sehingga 2016.

Pada tahun 2005, konsesi Plus telah dilanjutkan sehingga tahun 2038 dan caj tol meningkat sebanyak 10 peratus setiap tiga tahun.

Pada tahun 2011, konsesi Plus untuk semua lebuh raya lain juga dilanjutkan hingga 2038 dan sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula dengan semua lebuh raya hanya akan melihat kenaikan kadar tol lima peratus setiap 3 tahun.

Lanjutan terbaru tahun ini bagaimanapun dilakukan dengan kadar pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus.

Lim berkata pengurangan itu akan menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM1.1 bilion pada tahun 2020 sahaja.

"Ini termasuk penjimatan sebanyak RM500 juta daripada diskaun 18 peratus dan penjimatan berjumlah RM600 juta untuk pembayaran pampasan," katanya.

Beliau menambah dengan penjimatan RM600 juta, dana itu boleh digunakan untuk kebajikan dan pembangunan.

Diskaun baru kadar tol itu akan berkuatkuasa pada 1 Februari ini.

Plus sebelum ini berkata ia perlu berunding dengan pemegang sahamnya untuk menangani sebarang kebimbangan mengenai rancangan kerajaan.

Bagaimanapun, Lim berkata mesyuarat semalam, yang melibatkan Plus, mengesahkan keputusan memulakan diskaun berkenaan pada 1 Februari.

Plus adalah 51 peratus milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan 49 peratus milik Khazanah Nasional Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd.

Lihat Komen