Susulan kekurangan bekalan vaksin Influenza A di hospital swasta, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye mengingatkan orang ramai agar tidak membelinya secara atas talian.
“Kementerian Kesihatan tidak pernah meluluskan penjualan vaksin secara dalam talian,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight hari ini.
Lee berkata vaksin yang dijual secara atas talian mungkin palsu dan tamat tempoh, selain ia dihasilkan mengikut unsur virus pada masa itu dan mungkin tidak berkesan lagi setahun kemudian.
“Dengan kata lain, vaksin yang anda berikan pada tahun lepas atau tahun sebelumnya adalah berbeza dari tahun ini. Justeru, kami tidak menolak kemungkinan vaksin yang dijual dalam talian mungkin telah tamat tempoh," katanya.
Katanya lagi, penghantaran vaksin melalui mel berisiko menjadikannya tidak berkesan kerana ia memerlukan pengendalian khusus, antaranya disimpan di bawah suhu rendah.
Terdahulu terdapat insiden di mana ibu bapa membawakan vaksin yang dibeli sendiri ke klinik untuk disuntik kepada anak mereka.
Menurut hantaran Facebook pada 14 Januari lalu, klinik yang terletak di Bangi, Selangor itu berkata ramai orang meminta perkara sama tetapi pihaknya tidak akan menggunakan vaksin yang tidak diketahui sumber dan cara penyimpanannya kepada pesaikt.
Pada 18 Januari lalu, Bernama memetik Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai berkata, kira-kira 200,000 dos vaksin influeza akan dibawa masuk secara berperingkat dalam masa dua bulan, dengan 16,800 dos sudah tiba di Malaysia pada hari itu.