malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kaitkan isu lain, tindakan 8 pemuda DAP bodoh, kebudak-budakan'
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 9:54 PM
Dikemaskini: 2:02 PM
ADS

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh membidas kenyataan lapan pemuda DAP terhadap ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini selepas Syed Saddiq mendakwa beberapa pemimpin DAP yang merupakan sekutu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mendesak perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar berundur.

Mohd Hafez menyifatkan tindakan mereka mengaitkan kenyataan Syed Saddiq itu dengan tangkapan beberapa pemimpin Armada dan pemilihan Bersatu sebagai 'bodoh dan kebudak-budakan'.

"Apakah kaitan kenyataan YB Syed Saddiq dengan isu tangkapan beberapa pimpinan Armada baru-baru ini?

"Apakah pimpinan dalam DAP langsung tiada tuduhan kes yang masih dalam siasatan sekarang ini? 

"Mengaitkan satu kenyataan dengan isu yang terpalit individu lain adalah tindakan bodoh dan kebudak-budakan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, lapan pemimpin Pemuda DAP hari ini mengecam Syed Saddiq yang mendakwa beberapa pemimpin parti itu dan PKR mendesak supaya Dr Mahathir berundur.

Kata mereka, kenyataan Syed Saddiq itu dibuat selepas serbuan polis di sebuah kondominum yang turut melibatkan beberapa pemimpin Pemuda Bersatu.

Dalam kenyataan bersama tersebut, mereka juga mengaitkan kenyataan menteri belia dan sukan itu dengan pemilihan Bersatu tidak lama lagi.

Ahad lalu, polis menahan 17 individu termasuk Adun Dengkil, Adhif Syan di sebuah unit kondomium di Puchong kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Adhif merupakan ketua Armada Selangor.


Baca: Nasib Adun Dengkil tunggu keputusan mahkamah- Dr M


Mengulas lanjut Mohd Hafez berkata, tiada salahnya pandangan Syed Saddiq mengenai peralihan kuasa kerana Anwar sendiri telah meminta ahli PH untuk tidak mendesak tarikh peralihan kuasa ditentukan.

"Dan saya kira ini bukan pertama kali kenyataan sebegitu dikeluarkan olehnya.

"Tuan badan sendiri menyatakan komitmen untuk menghormati konsensus yang telah dicapai pada Januari 2018 yang lepas," katanya.

'Dengarlah nasihat bapa parti kamu'

Malah katanya pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sendiri menyeru agar penyokong PH supaya menghentikan obsesi terhadap isu peralihan kuasa.

"Jadi saya cadangkan kepada mereka ini supaya dengarlah nasihat bapa parti kamu ini sebelum bercita-cita menjadi pejuang politik yang membawa isu picisan yang mengundang kebencian rakyat.

"Sudah-Sudahlah bermain sentimen mewakili suara majoriti rakyat Malaysia yang kononnya mereka mahukan satu tarikh transisi ditetapkan.

"Saya yakin dan percaya satu- satunya yang diidamkan oleh rakyat Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dan lebih baik daripada keadaan pasca PRU14 yang lepas.

"Saya sarankan kepada pemuda-pemuda ini cukup-cukuplah bermain politik dan fokuslah kepada agenda menabur khidmat bakti atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat," katanya.

Lihat Komen