malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
SPR masih bimbang soal keselamatan pelaksanaan e-undi
ADS

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata beliau masih bimbang mengenai soal keselamatan apabila pengundian elektronik (e-undi) di Malaysia dilaksanakan kelak.

"Kami telah melihat demonstrasi mesin pengundian elektronik (EVM) dan e-undi dan kami masih mahu mendapatkan lebih banyak pendapat daripada pakar seperti soal keselamatan dan sebagainya.

"Itu masih dilakukan kerana saya sangat bimbang tentang keselamatan dan bagaimana untuk memuaskan hati pengundi kerana apa yang mereka undi itu dimasukkan ke dalam sistem," kata Azhar pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dengan dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang merupakan Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihanraya dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pelantikan Awam Utama.

Selain meyakinkan pengundi, katanya dia juga bimbang dengan penggodam yang boleh mencuba mengodam EVM.

"Sudah tentu, kita mempunyai cadangan sistem blockchain (sistem rekod atau rakaman berterusan) tetapi blockchain, ada orang yang pro-blockchain dan mereka yang menentang blockchain jadi kita benar-benar perlu melihatnya sebelum kita membuat keputusan," katanya.

Azhar juga memberitahu status terkini mengenai pelaksanaan undi kepada mereka yang berumur 18 tahun dan pendaftaran undi secara automatik.

Beliau berkata tender untuk sistem perisian bagi pendaftaran pengundi automatik telah dikeluarkan dan diharapkan siap pada pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai tender itu kerana ia tidak dikendalikan SPR, sebaliknya oleh Kementerian Kewangan.

Bagi pihak SPR, Azhar berkata mereka telah pun mengenal pasti secara manual lebih dua juta rakyat Malaysia yang layak menjadi pengundi baru.

"Bila ia (pendaftaran undi secara automatik) dilaksanakan, kami akan bersiap sedia," katanya.

Tahun lepas, parlimen meluluskan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan agar menurunkan umur pegundi dan calon kepada 18 tahun dan juga melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

Lihat Komen