malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemaju Forest City kurangkan pekerja
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM
ADS

Pemaju bandar Forest City di Johor, Country Garden Malaysia (CGM) mengurangkan kakitangannya sejak Disember tahun lalu, lapor EdgeProp.

Laporan itu menyatakan hampir 400 kakitangan diberi dua pilihan: sama ada menerima pakej penamatan dan meninggalkan syarikat itu dalam masa 48 jam; atau berunding dengan pakej pampasan dengan peguam syarikat.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan pemberhentian pekerja merupakan sebahagian daripada penyusunan semula syarikat CGM.

Lebih banyak pemberhentian dijangka akan dilakukan pada Mac hingga Jun tahun ini.

CGM memberitahu EdgeProp bahawa langkah pengurangan pekerja itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk menggabungkan semua unit syarikat itu di Malaysia.

"Semasa proses integrasi, organisasi kami melihat keperluan untuk mengurus kemahiran dan bakat yang bertindih. Beberapa bakat telah dipindahkan ke jabatan lain yang sesuai dengan kemahiran mereka sementara beberapa lagi telah ditugaskan semula ke projek lain.

"Kepada mereka yang membuat keputusan berhenti, khidmat mereka diiktiraf dengan pakej yang adil, dengan pemahaman persetujuan antara kedua-dua pihak. Proses itu dilaksanakan mengikut undang-undang buruh Malaysia, " kata syarikat itu.

Laporan EdgeProp turut menyatakan bahawa Jabatan Buruh Johor Bahru tidak dimaklum mengenai pemberhentian kakitangan oleh CGM.

Undang-undang buruh Malaysia mewajibkan majikan melaporkan pengurangan pekerja melebihi daripada lima orang.

CGM adalah anak syarikat Country Garden Holdings Co Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

Portfolio syarikat tersebut adalah termasuk Lake City @ KL North, Country Garden Diamond City di Selangor, Country Garden Central Park di Johor dan Country Garden Danga Bay di Johor.

Projek utamanya adalah Forest City, yang bertujuan untuk menarik ekspatriat - kebanyakannya dari China - kerana reka bentuk futuristiknya dan kedekatannya dengan Singapura.

Forest City adalah usaha sama antara Country Garden dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), yang dimiliki oleh Kerajaan Johor dan Sultan Johor.

Lihat Komen