malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Saya pulangkan wang salah masuk akaun kerana nilai moral’
ADS

Sesetengah orang mungkin menganggap wang RM1,600 yang dimasukkan ke akaun oleh pihak tidak dikenali sebagai “rezeki terpijak”.

Bagaimanapun, bagi Wendy Lim, pelajar sarjana kerja-kerja sosial di Australia, ia bertentangan dengan nilai moral yang dipegangnya.

Oleh itu, kata Wendy, 26, dia memulangkan kembali kepada tuannya yang bersusah payah cuba menjejaknya selama enam bulan.

“Saya merasa puas dan lega kerana misi memulangkan wang kepada pemilik asal telah berjaya,” kata Wendy kepada Malaysiakini.

Jun lalu, kisah seorang jurutera di kilang di Selangor, Mohamad Azim Mohd Nor menjejak Wendy - yang hanya diketahui nama dan nombor akaun bank - mendapat perhatian warga maya.

Azim, 28, yang tersalah memasukkan RM1,600 ke dalam akaun Wendy, meminta bantuan pengguna sosial.

Tidak disangka-sangka, kira-kira 6,000 orang berkongsi semula statusnya di Twitter itu bagi membantunya menjejak Wendy.

Azim berkata dia terpaksa menggunakan cara itu memandangkan pembatalan pemindahan wang memerlukan pengesahan daripada pemilik akaun.

Wendy pula tidak dapat dihubungi melalui talian telefon kerana melanjutkan pelajaran di luar negara.

Menunggu harapan yang tipis, Azim terpaksa menggantikan wang peribadinya kepada seorang pekerja asing yang sepatutnya menerima wang itu.

Bagaimanapun, tidak disangka-sangka, selepas menghubungi banyak “Wendy Lim” di Facebook, wanita itu menghubunginya pada penghujung November lalu, menerusi Twitter.

“Saya sangat terharu bila Wendy beritahu yang dia mahu pulangkan balik duit itu,” kata Azim kepada Malaysiakini.

Wendy bertindak demikian setelah dimaklumkan perkara itu oleh rakannya. Wendy sendiri jarang menggunakan perkhidmatan bank itu.

Sementara itu, Wendy berkata dia memahami nilai wang kerana dia sendiri rasa berat berdepan kekangan kewangan untuk membayar yuran universiti.

Dia justeru memulangkannya selepas pulang daripada Australia.

"Ini motivasi terbesar saya menghantar wang kembali (kepada pemilik asal), dan yang paling penting, saya merasa dihargai dan kandungan mengetahui bahawa wang ini telah membantu Azim dan rakan-rakannya," katanya.

Lihat Komen