malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 mayat pelajar politeknik di Dungun ditemukan lemas
ADS

Tiga daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara di Dunun Jumaat lepas, ditemukan mati lemas setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Sharikan Bustaman berkata mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan daripada Kuala Terengganu ditemukan pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Al Rashid Mohamed daripada Kuantan, Pahang pula ditemukan terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer daripada mayat Muhammad Ikhwan, katanya ketika ditemui di Dungun.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki daripada Kemaman ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort, di sini pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata ketika ini usaha mencari dan mengesan Mohamad Amir Izzudin daripada Melaka, sedang dipergiatkan.

- Bernama

Lihat Komen