malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim berpengalaman di Borneo akan dengar kes Sabah, S'wak - Menteri
Diterbitkan:  Jan 19, 2020 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata Putrajaya akan memastikan para hakim yang mempunyai pengalaman di Borneo untuk mendengar kes yang difailkan di Malaysia Timur.

Liew berkata pihaknya mengambil maklum gesaan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Roger Chin bahawa hakim dengan pengalaman mendengar kes di Borneo wajar mendengar kes rayuan yang difailkan di kedua-dua negeri itu, khususnya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada majlis pembukaan Tahun Undang-Undang 2020 di Kuching, Jumaat lalu, Chin berkata hakim berkenaan mampu melakukan penghakiman dengan mengambil kira situasi setempat, budaya dan konteks undang-undang itu dilaksanakan.

"Saya setuju sepenuhnya. Ada ketikanya kes itu melibatkan situasi setempat, budaya dan adat Borneo yang unik dan hanya boleh dihakimi oleh hakim yang mempunyai pengalaman kehakiman di Borneo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew berkata, Putrajaya bersama kerajaan Sabah dan Sarawak pada tahun lepas juga bersetuju mengenai kepentingan perwakilan dari Borneo.

Katanya, ia antara salah satu daripada 17 isu yang sedang disemak semula Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia akan diselesaikan pada peringkat pentadbiran oleh Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

“Pencapaian Jawatankuasa Khas Kabinet ini kekal menjadi sejarah undang-undang Malaysia dan sekali lagi mencerminkan keberkesanan jawatankuasa peringkat tinggi dalam membuat keputusan.

“Kerajaan persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam memastikan kepentingan Borneo dipelihara dan dijunjung, serta Sabah dan Sarak menjadi rakan setara dalam persekutuan ini,” katanya.

Lihat Komen