malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lebih 500 sertai himpunan solidariti 100 hari tahanan Sosma
ADS

Hujan lebat di ibu kota tidak menghalang kehadiran lebih 500 peserta perhimpunan memperingati 100 hari 12 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Peserta yang hadir termasuk daripada kalangan ahli keluarga tahanan, pemimpin politik dan wakil NGO.

Berlangsung di hadapan pusat beli belah Sogo bermula 6.30 petang semalam, perhimpunan anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu adalah bagi menuntut kerajaan pusat supaya menunaikan janji memansuhkan Sosma serta membebaskan 12 tahanan yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Tujuan utama perhimpunan ini adalah membantah sekeras-kerasnya akta drakonian ke atas tahanan terbabit yang telah dituduh dengan kumpulan pengganas yang sudah tidak berfungsi hampir 10 tahun.

"Perhimpunan ini juga untuk memperingati dan bersetiakawan bersama semua tahanan Sosma yang masih di penjara walaupun mereka belum dibuktikan bersalah dan kes masih berjalan di mahkamah," kata Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy kepada pemberita selepas berakhirnya perhimpunan berkenaan.

Dua hari lalu, genap 100 hari penahanan 12 individu termasuk dua Adun DAP yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

Gesa mansuh Sosma

Exco negeri Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran antara pemimpin yang ditahan di bawah Sosma.

"Kami menggesa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin serta jemaah menteri Pakatan Harapan untuk menunaikan janji manifesto pilihan raya ke-14 untuk dengan memansuhkan undang-undang zalim, termasuklah Sosma dan seterusnya membebaskan kesemua 12 tahanan politik ini.

"Kami menganggap penggunaan Sosma terhadap 12 individu ini adalah bermotifkan politik.

"Sebelum PH menjadi kerajaan, telah pun jelas bahawa Sosma mempunyai peruntukan yang drakonian dan zalim yang membelakangkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

"Namun, mereka membiarkan penggunaan Sosma sewenang-wenangnya," tambahnya lagi.

Terdahulu, para peserta memegang lilin sebagai tanda solidariti sambil melaungkan slogan "mansuhkan Sosma, bebaskan tahanan".

Ahli keluarga juga melepaskan 12 burung merpati sebagai simbolik menggesa pembebasan 12 tahanan itu.

Tuduh di mahkamah jika ada bukti

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan bekas presiden Majlis Peguam Negara Ambiga Sreenivasan.

Selain itu, Adun Hulu Kelang Saari Sungip, Adun Sentosa Gunaraj George, Adun Sabai D Kamatchi dan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishakaran turut hadir untuk memberi sokongan moral kepada ahli keluarga.

Ketika diminta mengulas, Ambiga berkata bahawa beliau terkejut apabila mendapati 12 individu berkenaan sudah pun ditahan selama 100 hari.

"Saya berjumpa dengan mereka tahun lepas. Mereka tanya saya kenapa ini berlaku di bawah PH dan saya tidak dapat jawab.

"Acara yang dikaitkan dengan LTTE telah pun diadakan sejak zaman BN, tapi tidak pernah diambil tindakan. Kenapa berlaku sekarang? Kalau ada bukti kukuh, tuduh di mahkamah dan adakan perbicaraan dengan segera," katanya.

Ambiga yang juga bekas pengerusi Bersih berkata bahawa beliau telah melihat kertas pertuduhan, namun beliau berkata beliau tidak memahami kesalahan yang didakwa.

"Saya tak faham sampai sekarang. Sosma perlu dimansuhkan. Sekurang-kurangnya dipinda dengan segera," tegasnya lagi.

Sementara itu, Sarawanan berkata bahawa partinya mengambil bahagian dalam perhimpunan hari ini untuk menunjukkan tidak puas hati dengan tindakan kerajaan ke atas 12 tahanan.

"Kalau mereka didapati bersalah tuduh di mahkamah. Tidak adil tahan mereka di bawah Sosma," katanya kepada Malaysiakini.

Suaram dalam kenyataan turut mengkritik bahawa dalam perihal Sosma kerajaan jelas menggunakan prinsip "rule of jungle" dan bukan "rule of law".

Lihat Komen