malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ganti PM: 6 wakil PKR mesti senada bawa suara parti, kata Saifuddin
ADS

Kesemua enam wakil PKR dalam Majlis Presiden PH mesti membawa suara yang sama semasa membincangkan isu peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata berkata enam wakil parti itu dalam Majlis Presiden PH ialah Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Tian Chua, Dr A Xavier Jayakumar dan beliau sendiri.

"Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini membuat ketetapan bahawa semua wakil PKR hendaklah membawa suara yang sama seperti keputusan parti," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menambah, pendirian PKR mengenai calon perdana menteri adalah jelas, iaitu Anwar.

Hal yang sama juga, kata Saifuddin, sudah dibuat mengenai tempoh peralihan daripada Mahathir kepada Anwar.

Justeru, katanya, semua wakil PKR dalam Majlis Presiden PH mesti senada membawa ketetapan parti semasa membincangkan hal berkenaan.

"Seperti yang diketahui umum, calon perdana menteri akan datang ialah Anwar dan ini telah dipersetujui sejak Jan 2018 lagi,” katanya.

Peralihan aman, teratur

Saifuddin ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat MPP PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mereka yang dilantik mewakili parti juga tidak boleh membawa suara peribadi dalam Majlis Presiden PH sebaliknya kekal dengan pendirian parti yang memilih Anwar sebagai pengganti Mahathir sebagai perdana menteri.

“Mereka tidak boleh bawa pandangan peribadi, kerana yang mengikat kita adalah keputusan atau pandangan parti,” katanya.

Semalam, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengingatkan agar pihak yang menggesa peralihan kuasa perdana menteri mengutamakan kepentingan negara dan bukannya individu.

Meskipun tidak menyebutkan nama tertentu, Azmin dipercayai merujuk kepada cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar peralihan kuasa dilakukan pada Mei tahun ini.

Mahathir sendiri sebelum ini telah menyatakan bahawa peralihan kuasa perdana menteri hanya akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2020 selesai dianjurkan, akhir tahun ini.

Pada 14 Januari lalu, Mahathir berkata beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya serta-merta sekiranya Majlis Presiden PH mengkehendakinya.

Sementara itu, Anwar telah berulang kali mempertahankan bahawa peralihan terakhir mesti dijalankan secara aman dan teratur.

Lihat Komen