malaysiakini logo
story-image
ADS

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, diberikan surat tunjuk sebab semalam, kata setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail.

Kata ahli parlimen Kulim - Bandar Baru itu, pemimpin kanan PKR berkenaan juga diberikan tempoh 14 hari untuk menjawab surat tersebut.

Bagaimanapun, Saifuddin enggan memberikan maklumat lanjut mengenai surat tersebut, termasuk alasan ia dikeluarkan, kerana ia dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim.

"Semalam Zuraida telah dihantar satu surat tunjuk sebab dan bermula semalam beliau ada 14 hari untuk memberikan penjelasan.

"Selepas itu barulah Lembaga Displin PKR akan buat apa-apa tindakan selanjutnya, sama ada dipanggil membela diri, dilepaskan atau sebagainya," kata Saifuddin kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), hari ini.

Zuraida adalah seorang daripada pemimpin kanan PKR yang menyokong Azmin Ali ketika parti itu berdepan pertembungan dalaman. Satu kumpulan menyokong Azmin - yang juga timbalan presiden PKR - manakala satu lagi berpihak kepada Anwar Ibrahim.

Anwar ialah presiden PKR.

Persaingan itu menyaksikan Azmin dan Zuraida mengeluarkan kenyataan keras terhadap kepemimpinan tertinggi PKR dan ia terzahir dengan ketara ketika parti terbabit mengadakan kongres tahunan di Melaka baru-baru ini.

Perubahan dalam badan parti

Keadaan itu mendorong sesetengah pihak mendesak Azmin dan Zuraida dikenakan tindakan disiplin.

Saifuddin berkata kuasa mengenakan tindakan ada pada Ahmad.

Menurut beliau, isu surat tunjuk sebab kepada Zuraida antara perkara dibangkitkan Ahmad dalam taklimat kepada kepemimpinan PKR hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Anwar, manakala Zuraida berada di Kimanis, Sabah, sempena pilihan raya kecil kawasan parlimen itu hari ini.

Sementara itu Saifuddin juga mengumumkan Lembaga Disiplin PKR menggantung keanggotaan bekas exco pemuda parti itu, Akmal Hisham Ahmad Tamyiz, yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong minggu lalu.

Dr Lee Boon Chye

Beliau juga mengumumkan berlaku perubahan kecil dalam MPP apabila Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, dilantik menggantikan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon; manakala Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail, dipilih meggantikan Syed Ibrahim.

Katanya Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow, pula dilantik menganggotai lembaga disiplin bagi menggantikan Lee.

Bagi jawatan pengarah strategik pula, Saifuddin berkata, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, dilantik bagi menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman.

Lihat Komen