BERITA

Kumpulan pro, anti-Zuraida bertembung depan pejabat PKR

Alyaa Alhadjri

18 Jan 2020, 2:43 am

Dikemaskini 2 bulan lepas

A
+
A
-

Dua kumpulan dari PKR berdepan antara satu sama lain ketika menunggu ketibaan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin di luar ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya pagi ini.

Satu pihak, kebanyakannya memakai baju parti, berkata mereka datang untuk menunjukkan sokongan kepada Zuraida ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR dijadual berlangsung hari ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 50 orang itu berkata mereka mewakili pemimpin akar umbi dan ahli-ahli PKR yang sebahagian besarnya dari cabang PKR Ampang.

Satu kumpulan lagi, yang kebanyakannya berpakaian biasa, membawa sepanduk menggesa pemimpin parti itu memecat Zuraida.

Bagaimanapun Zuraida tidak hadir dalam mesyuarat itu kerana bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Kimanis, Sabah berikutan pilihan raya kecil parlimen berkenaan.

Sementara itu polis dilihat bersiap sedia mengawal keadaan ketika kedua-dua kumpulan saling membalas ejekan.

Penyokong Zuraida mendakwa kumpulan yang menentang mereka tidak dikenali dalam PKR.

Sementara itu, kumpulan anti-Zuraida pula menegaskan mereka merupakan penyokong setia PKR.

Mereka juga mendakwa Zuraida menghina parti itu dengan melakukan serangan terbuka terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Zuraida sebelum ini tidak hadir mesyuarat PKR sehinggalah mesyuarat biro politik yang diadakan pada 8 Jan lalu.

Pada kira-kira jam 11 pagi, bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K. Gunasekaran Kuppan, berucap di hadapan penyokong Zuraida dan meminta  mereka menunggu di situ sehingga mesyuarat hari ini selesai.

Katanya, mereka mesti menghantar mesej yang jelas kepada kepimpinan parti bahawa kedudukan Zuraida mesti dipertahankan.

Beliau juga mengulangi dakwaan bahawa kumpulan anti-Zuraida yang hadir hari ini adalah "orang luar" yang digerakkan untuk masuk campur dalam urusan dalaman PKR.

Akibatnya, kumpulan  anti-Zuraida mengejek lawan mereka, dan tidak lama selepas itu, hampir berlaku pergelutan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Beberapa pemimpin PKR cabang dilihat cuba menenangkan kedua-dua kumpulan.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang meminta penyokong Zuraida bertenang, manakala pemimin PKR dari Kedah, Johari Abdul juga meminta kumpulan anti-Zuraida supaya berhenti mengejek.

Chang kemudian memberitahu pemberita bahawa mesyuarat hari ini hanya mesyuarat bulanan biasa dan kedudukan Zuraida tidak dibincangkan dalam pertemuaan itu.

"Saya juga tak tahu mengapa mereka berkumpul di sini hari ini," katanya ringkas sebelum menyertai mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PKR Anwar Ibrahim.