BERITA

5G tak bahayakan kesihatan, kata pakar

Bernama

18 Jan 2020, 1:54 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Dakwaan segelintir pihak yang menyatakan penggunaan teknologi generasi kelima (5G), yang akan diperkenalkan di Malaysia tahun ini, boleh menjejaskan kesihatan adalah tidak benar, kata pakar.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tharek Abdul Rahman berkata teknologi itu menggunakan frekuensi radio yang tidak menghasilkan sinaran berbahaya seperti dihasilkan sinar X.

"Orang ramai perlu faham bahawa radiasi ada dua jenis iaitu jenis mengion dan tidak mengion, yang boleh menyebabkan kanser adalah jenis mengion seperti sinar X dan radio aktif.

"Sinaran tak mengion dihasilkan 5G hanya akan menyebabkan kesan pemanasan yang tidak cukup untuk memberi kesan jangka panjang kepada tisu-tisu badan, " katanya kepada Bernama.

Menjelas lanjut, Tharek berkata frekuensi radio yang dihasilkan teknologi 5G juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah berbanding tenaga daripada matahari.

"Tenaga daripada matahari adalah dalam kategori selamat kerana ia radiasi tidak mengion, 5G pula 1,000 kali lebih rendah menunjukkan ia radiasi selamat.

"Berdasarkan laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), lebih 25,000 artikel penyelidikan di seluruh dunia yang diterbitkan dalam tempoh 30 tahun menunjukkan pendedahan kepada frekuensi radio berskala rendah atau sinaran tak mengion tidak memberi impak negatif kepada kesihatan manusia," katanya.

Turut senada adalah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Abdullah Mohd Zin yang menyifatkan dakwaan 5G memberi impak buruk kepada kesihatan adalah salah faham yang perlu diperbetulkan.

"Tidak ada bukti yang kukuh mengaitkan 5G dengan bahaya kepada kesihatan," katanya.

Isu 5G menjadi perdebatan ramai apabila terdapat dakwaan menyatakan ia boleh membahayakan kesihatan seperti menyebabkan kanser, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai penggunaan teknologi itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal mencadangkan supaya lebih banyak kempen dijalankan dalam memberi kesedaran kepada orang awam mengenai fungsi dan implikasi 5G.

"Teknologi 5G mengeluarkan radiasi elektromagnetik yang hampir sama dengan teknologi lain sedia ada.

"Kerajaan diharap dapat memberi maklumat kajian terkini dan berterusan dari pusat kajian seluruh dunia mengenai kesan 5G kepada kesihatan manusia," jelasnya.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai antara perintis 5G di rantau ASEAN.

Teknologi itu sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, esok (Ahad).

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Komen