malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PSS buka ruang untuk Projek IC 2.0, dakwa Najib
ADS

Bekas perdana menteri, Najib Razak, tidak menolak kemungkinan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) membuka ruang kepada berlakunya "Projek IC 2.0".

Beliau berkata, kerajaan PH dan Warisan tidak sepatutnya menyalahkan BN sekiranya mereka mahu melaksanakan PSS.

"Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah mengesahkan Projek IC dilasanakan pada zaman dulu.

"Jadi, saya tidak tolak ada kemungkinan 'Projek IC 2.0 boleh dilaksanakan," katanya kepada media ketika berkempen di Kimanis, petang tadi.

Sementara itu dalam ucapannya, Najib mendakwa RCI mengesahkan Projek IC pernah berlaku ketika zaman perdana menteri keempat - merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri untuk kali pertama.

Pada 3 Dis 2014 laporan akhir RCI mengenai pendatang haram di Sabah membuat kesimpulan, antara lain, bahawa Projek IC yang begitu banyak diperkatakan, mungkin wujud di negeri itu.

Siasatan mengesahkan bahawa projek itu didakwa digunakan oleh kakitangan awam untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin menyebabkan berlaku lonjakan jumlah penduduk di Sabah.

RCI membuat kesimpulan bahawa terdapat "kredibiliti" dalam testimoni yang diberi lima orang yang mengaku menjadi sebahagian daripada projek yang dikatakan itu.

Tetap kena hati-hati

PSS pula ialah dokumen baru dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pendatang asing bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Ini susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019 dan diumumkan kemudian Muhyiddin pada hari yang sama.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau selatan negara itu.

Pendatang ekonomi sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada 1980-an. Selainnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Najib berkata kerajaan BN di bawah pentadbirannya menolak pelaksanaan PSS dan tidak mungkin akan melaksanakannya.

"Ia (PSS) cuma jadi cadangan... tapi cadangan tak diterima kerajaan BN, itu Joseph Pairin Kitingan terangkan malam itu dan saya mengesahkan apa dia katakan.

"Janganlah tuduh BN, batal sajalah, kalau projek lain mereka boleh batalkan, kenapa PSS tak boleh dibatalkan? Itu pun kalau mereka mahu," kata Najib.

Mengulas mengenai potensi BN untuk memenangi kerusi parlimen Kimanis esok, Najib berkata beliau optimis parti itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Katanya, Warisan kini terdesak dan akan melakukan apa saja untuk meraih sokongan pengundi.

"Saya lihat alhamdulillah, sambutan di mana-mana saya pergi, tapi kita kena hati-hatilah, bahawa Warisan akan desperate (terdesak) untuk lakukan apa saja," katanya.

Lihat Komen