malaysiakini logo
story-image
ADS

Berita kematian aktivis reformasi, Dr Badrul Amin Bahron yang kini ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di kem tahanan Kamunting adalah palsu, kata isterinya.

"Ustaz (Dr Badrul Amin) masih sihat dan tiada apa yang berlaku," kata isterinya Zumrah Husni ketika dihubungi malaysiakini di rumahnya petang ini.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa yang telah meninggal dunia pada 30 September lepas ialah kakak sepupu Badrul yang menetap di Melaka.

Zumrah bersama Aliza Jaffar, isteri Saari Sungib (ahli jawatankuasa Keadilan) mewakili keluarga dan isteri enam tahanan ISA baru saja menghantar memorandum mengenai keadaan tahanan itu di kem Kamunting ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), semalam.

Badrul ditahan bersama dengan lima lagi pemimpin parti Keadilan and aktivitis reformasi di kem Kamunting, Perak sejak awal bulan Jun kerana disyaki terlibat dalam percubaan mengulingkan kerajaan secara militan.

Ketua Komandan Kem Mohd Zawawi Abdul Rahim yang juga dihubungi malaysiakini turut mengesahkan Badrul berada dalam keadaan sihat dan begitu juga dengan lima tahanan yang lain.

Beliau yang dihubungi petang tadi berkata khabar angin mengenai "kematian" Badrul itu perlu dihentikan kerana ia sama sekali tidak benar.

Khabar angin

Tambah beliau, jika ada tahanan yang meninggal dunia pihak penjara tentu sekali akan memaklumkan perkara itu.

Sementara itu, menurut peguam yang mewakili Badrul, Saiful Izham Ramli memberitahu khabar angin mengenai "kematian" itu mula didengari sejak Ahad lalu.

"Ia (khabar angin) semakin merebak dan saya telah menerima berpuluh panggilan telefon bertanya tentangnya dan perkara ini perlu dihentikan segera," katanya.

Tambahnya, beliau baru saja bertemu Badrul tiga hari lalu dan akan melawatnya lagi Isnin depan.

"Malah semalam saya telah hubungi pihak kem Kamunting bertanya perkara ini (khabar angin) untuk kepastian dan tiada apa yang berlaku," tegasnya.

Menurut beliau lagi, mungkin khabar angin itu disebarkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda tidak baik

Pihak malaysiakini sejak semalam turut menerima banyak panggilan telefon meminta pengesahan mengenai berita "kematian" tersebut.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.