malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenaikan harga tol Plus dibekukan 38 tahun
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 12:24 PM
Dikemaskini: 4:58 AM
ADS

Tempoh konsesi untuk semua lebuh raya Plus akan dilanjutkan selama 20 tahun dari 2038 ke 2058.

“Ini bagi memastikan Plus mampu menjalankan kegiatan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kata pejabat itu, walaupun sebelum ini perjanjian konsesi memperuntukkan kenaikan kadar tol secara berperingkat, keputusan terbaru ini akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun (2020-58).

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh kerajaan kepada Plus sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol tersebut,” katanya.

Kerajaan juga tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada Plus - penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi tersebut.

Pejabat perdana menteri juga berkata Plus kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) kekal sebagai pemegang saham Plus.

“Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama membolehkan Plus untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

“Penjimatan RM42 bilion kini boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan Rakyat.

“Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham Plus,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan itu juga menyebut keputusan itu dibuat berdasarkan kajian lebih setahun dan pertimbangan menyeluruh pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Lihat Komen