malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rohingya tetap jadi isu utama dalam perbicangan Asean
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 11:21 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

Malaysia kekal dengan pendirian bahawa pelaku pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar mesti dibawa ke muka pengadilan, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata ini bagi membolehkan penghantaran pulang etnik Rohingya dibuat secara sukarela dan selamat.

Beliau mengulas keperluan campur tangan dalam isu Rohingya semasa mewakili Malaysia pada majlis makan malam semasa acara pemukiman menteri-menteri luar Asean di Nha Trang, Vietnam.

Beliau berkata penghantaran pulang perlu dilakukan melalui rundingan dengan etnik Rohingy dan Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap mereka yang berada di Rakhine, Bangladesh, dan juga di Malaysia.

Beliau berkata cabaran kini dihadapi apabila pelarian Rohingya telah hilang keyakinan terhadap kerajaan Myanmar, yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

"Adalah penting bahawa keutamaan seluruh rantau ini terhadap hak Rohingya untuk mendapatkan kehidupan yang bebas, baik dan bermaruah, dengan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk keselamatan manusia dan pembangunan inklusif untuk masyarakat dan peningkatan bantuan kemanusiaan adalah penting sebelum penghantaran balik dilakukan,"katanya.

"Ini termasuk penyelesaian untuk isu pendidikan, mata pencarian, memperkasakan ekonomi dan pengiktirafan identiti budaya dan agama.

"Dalam hal ini, ketika kemungkinan menghantar pulang pelarian Rohingya masih  tidak mungkin dan berbahaya, kerajaan Myanmar perlu terlebih dahulu memberikan kewarganegaraan kepada Rohingya dalam sempadannya, yang dianggarkan kira-kira 500,000," katanya.

Menteri Luar itu berkata pada masa yang sama, perang saudara di wilayah Rakhine perlu ditangani oleh Asean jika status jangka panjang Rohingya hendak diselesaikan sepenuhnya.

"Wacana perlu melangkaui penghantaran pulang kepada perbincangan komprehensif mengenai kerumitan konflik di negeri Rakhine.

"Kepentingan ekonomi dan politik China di negeri Rakhine dan hubungan dua hala yang kukuh dengan Myanmar membuka peluang untuk mempengaruhi Myanmar ke arah pendekatan yang lebih kreatif dan menyeluruh.

"Asean perlu melibatkan China dan Myanmar secara konstruktif, bersama-sama dengan Bangladesh," kata Saifuddin. 

Lihat Komen