malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan Khazanah enggan jual Plus bodoh, kata bos Maju Holdings
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 7:09 PM
Dikemaskini: 12:59 PM
ADS

Pengerusi Maju Holdings Abu Sahid Mohamed menyifatkan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Shahril Ridza Ridzuan sebagai "pembohong" beberapa jam selepas Putrajaya mengumumkan keputusan tidak menjual konsesi lebuh raya terpanjang di negara ini.

Abu Sahid Mohamed yang juga mengetuai syarikat pengendali lebuh raya Maju Express dipetik FMT berkata keputusan Khazanah itu “bodoh.”

Beliau juga dilaporkan mempertikaikan kenapa pihaknya tidak dimaklumkan meskipun syarikatnya dipelawa melakukan tawaran.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu menjualnya. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” katanya.

Terdahulu hari ini, Putrajaya memutuskan bahawa syarikat pengendali lebuh raya terbesar negara ini, Plus Malaysia Bhd (Plus), tidak akan dijual, sebaliknya kekal menjadi milik kerajaan.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sudah menjalankan kajian ke atas semua tawaran dan bidaan dibuat oleh pihak swasta yang berminat untuk membeli Plus.

"Akhirnya kerajaan memutuskan kaedah terbaik ialah tidak menjual Plus kepada sesiapa, sebaliknya mengekalkan ia dengan Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," katanya.

Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan.

Pada masa sama Mahathir menjelaskan, walaupun tidak dijual, Plus dikehendaki mengurangkan kadar bayaran tol sebanyak 18 peratus dalam tempoh 20 tahun.

Beliau juga memberitahu, tiada kenaikan kadar tol untuk semua lebuh raya kendalian Plus.

Ditanya sama ada penurunan itu akan dilakukan secara berperingkat, perdana menteri menegaskan ia akan dibuat secara langsung.

"Kita akan berikan diskaun 18 peratus," katanya.


BacaKhazanah tak terkesan tuduhan bos Maju Holdings


Ditanya bila potongan kadar bayaran itu akan dibuat, beliau menjawab: "Tahun ini."

Plus diminiki oleh syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan sebanyak 51 peratus, manakala KWSP 49 peratus.

Sebelum ini beberapa pihak swasta, termasuk Maju Holdings tampil dengan tawaran untuk membeli konsesi berkenaan bersama janji untuk mengurangkan kadar bayaran tol.

Ketika membuat bidaan, Maju Holdings komited untuk melabur kira-kira RM5.3 bilion yang termasuk memasang lampu di sepanjang lebuh raya bersama-sama dengan penambahbaikan lain yang diperlukan.

Maju Holdings Sdn Bhd mencadangkan untuk menyerap RM2.7 bilion bagi pampasan tol yang perlu dibayar kerajaan kepada Plus Malaysia Bhd sekiranya pengambilalihan konsesi lebuh raya terbesar negara itu oleh syarikat berkenaan berjalan lancar.

Maju Holdings juga bercadang untuk mengurangkan kadar tol sehingga 36 peratus dan tidak akan meminta pampasan kewangan daripada kerajaan bagi pengurangan itu.

Lihat Komen