malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengakui pembelian kereta baru jenis Mercedes Benz bukan sahaja untuk kegunaan rasmi menteri besar tetapi juga membabitkan pimpinan kerajaan negeri lain.

Malah, dedahnya, kereta jenama Mercedes Benz itu turut dibeli untuk kegunaan barisan exco dan setiausaha kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan 14 buah.

Mohd Amar berkata pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Ahmad Yakob.

"Ya memang semua exco, menteri besar dan saya sendiri kini menggunakan kereta Mercedes Benz sebagai kenderaan rasmi, namun kapasiti enjin yang berlainan.

"Saya mula pakai sejak akhir Disember lalu, manakala Menteri Besar mula pakai 1 Januari lalu.

"Kita beli kereta baru memandangkan kebanyakan kereta sudah digunakan lebih 10 tahun dengan ada exco yang berhenti selepas pilihan raya umum (PRU) membeli kenderaan rasmi yang mereka gunakan," katanya kepada media ketika ditemui di Pejabat Adun Panchor, Kota Bharu, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes Benz jenis S 450 L AMG Line dikatakan kenderaan rasmi baru Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, menjadi perbincangan hangat di media sosial.

Kenderaan dengan plat pendaftaran DV 1 itu disahkan dibeli oleh kerajaan negeri Kelantan bagi menggantikan kenderaan rasmi yang lama dikatakan berharga lebih RM600,000.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Kelantan, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun yang lalu.

Sementara itu, Mohd Amar menjelaskan pembelian Mercedes Benz itu dibuat kerana mementingkan keselamatan dan berdasarkan pengalaman, penyelenggaraan Mercedes Benz lebih jimat berbanding kereta lama jenis Proton Perdana yang digunakan.

Bagaimanapun beliau sendiri tidak mengetahui harga sebuah Mercedes Benz yang dibeli memandangkan bahagian kewangan yang menguruskannya.

"Harga tidak menjadi soal kerana kerajaan mendapat diskaun hampir 50 peratus kerana tidak dikenakan cukai. Saya tidak tahu harga sebenar namun ada diskaun.

"Jadi tidak timbul isu kita menggunakan Mercedes Benz kerana sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menggunakannya," jelasnya.

Lihat Komen