malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRK Kimanis: Tinjauan ramal Warisan menang
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 3:47 PM
Dikemaskini: 7:57 AM
ADS

Kelebihan sebagai parti pemerintah dan “big men” (pihak berpengaruh) berpaksikan personaliti Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, diramal akan menyaksikan Warisan menjadi pemenang dalam pilihan raya kecil Kimanis, Sabtu ini.

Turut Mengambil kira kekuatan Warisan sebagai sekutu kerajaan pusat, dapatam kajian Ilham Centre menjangkakan Warisan akan merampas kerusi parlimen itu daripada BN.

"Ciri tradisi politik Sabah yang berpaksikan personaliti dan big men masih lagi memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kempen dan psikologi politik Sabah.

"Keupayaan sebuah parti baru Warisan yang ditubuhkan pada 2016 dan diketuai oleh Mohd Shafie Apdal bersama Pakatan Harapan Sabah memenangi 14 kerusi parlimen daripada 25 jumlah kerusi dan 29 kerusi DUN daripada 60 jumlah kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 serta menguasai kerajaan negeri adalah sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Ilham Centre berkata pada peringkat awal kempen, persaingan adalah terbuka dan sengit.

"Namun, menjelang minggu kedua berkempen, Warisan dilihat mendahului dan berupaya untuk merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi tipis oleh BN dalam pilihan raya umum ke-14,” menurut Ilham Centre.

Tinjauan secara tatap muka itu diadakan bermula 11 sehingga 14 Januari 2020 menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Kajian lapangan itu melibatkan 401 responden yang merupakan pengundi berdaftar kerusi Kimanis mewakili semua segmentasi etnik, jantina, umur dan lokaliti.

Demografi Kimanis menunjukkan sebanyak 67 peratus adalah terdiri daripada Muslim Bumiputera (majoriti daripada etnik Melayu Brunei dan sedikit Bajau), Bumiputera bukan Islam 30 peratus (majoriti daripada etnik Kadazandusun-Murut), Cina 3 peratus dan lain-lain 0.3 peratus.

Kajian itu juga menyimpulkan psikografi pengundi sangat cenderung kepada parti pemerintah terutama dalam kalangan etnik Melayu Brunei dan pengundi di kawasan pedalaman.

"Mereka beranggapan adalah penting untuk mengundi parti kerajaan supaya kebajikan, kemajuan dan pembangunan mampu dibawa ke kawasan mereka berbanding memilih parti yang bukan parti pemerintah," tambahnya lagi.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Karim Bujang; dan Mohamad Alamin daripada BN.  

Karim lebih mesra rakyat

Sementara itu, Ilham Centre juga menyifatkan Karim lebih mesra rakyat berbanding Mohamad.

Karim yang pernah berkhidmat sebagai Adun Bongawan selama lima penggal di atas tiket BN berbanding Mohamad hanya satu penggal memberi kelebihan yang besar kepada wakil Warisan dengan 57 peratus responden berpandangan beliau lebih mesra rakyat dan mempunyai kredibiliti berbanding Mohamad sebanyak 43 peratus.

"Karim disifatkan sebagai seorang yang ramah dan kerap turun padang mendengar permasalahan rakyat.

"Meskipun terdapat juga rungutan dalam kalangan responden tentang kurangnya pembaharuan dan pembangunan yang dibawa oleh beliau sepanjang lima penggal menjadi Adun, ia tidak menghalang responden untuk mengundi Warisan," katanya.

Pas Sementara Sabah (PSS) isu terbesar

Sementara itu, Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan isu terbesar dan sangat signifikan dalam pilihan raya kecil ini.

"Ditanya kepada responden sejauh mana kefahaman mereka terhadap isu kontroversi PSS, sebanyak 62 peratus responden menyatakan mereka amat memahaminya dan 38 peratus menyatakan sebaliknya.

"Sebanyak 38 peratus responden menyokong, 30 peratus tidak pasti dan 32 peratus menyatakan mereka tidak menyokong dan membantah keras pelaksanaan PSS ini nanti. Kebanyakan mereka yang membantah keras PSS adalah terdiri daripada etnik Kadazandusun Murut."

Pengundi BN sedia sokong Warisan

Selain itu, Ilham juga yakin bahawa kajian menunjukkan pengundi BN bersedia untuk memberi undi kepada Warisan dengan peralihan yang cukup signifikan.

Penghijrahan ini melibatkan empat ahli parlimen dan sembilan Adun termasuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut, bawah Parlimen Kimanis).

Turut menjadi persoalan sama ada penghijrahan Mohd Arifin ke Bersatu akan turut membawa undi pengikut-pengikut beliau, menurut kenyataan itu.

"Satu lagi faktor yang cukup penting ialah ialah pengundi Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang berjumlah 1,300 undi dalam pilihan raya terdahulu. Pengasas dan pemimpin utama parti ini iaitu Lajim Ukin telah membubarkan PHRS dan mengisytiharkan masuk Bersatu.

"Dapatan kajian turut menunjukkan penyokong PHRS bersedia untuk memberi undi kepada Warisan pada hari pembuangan undi nanti," tambahnya.

Isu domestik lebih dominan

Secara amnya, kajian Ilham menunjukkan bahawa isu domestik lebih dominan berbanding isu-isu nasional tidak mendapat tempat dalam psikografi pengundi.

"Sebanyak 87 peratus responden menyatakan isu-isu lokal dan kenegerian adalah perkiraan utama mereka dalam memilih undi nanti berbanding isu nasional yang hanya mendapat tempat 13 peratus.

"Mereka menyokong tindakan kerajaan negeri untuk menyokong kerajaan persekutuan bagi meminda perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dalam persekutuan dengan peratusan bersetuju 67 peratus manakala 28 peratus mereka yang tidak pasti tentang perkara ini dan 5 peratus menolaknya.

"Isu-isu dan naratif seperti kerajaan PH gagal membela Melayu-Islam (26 peratus), kegagalan kerajaan persekutuan menunaikan manifesto (35 peratus) serta kerajaan PH dikuasai oleh DAP (24 peratus) adalah kecil dan tidak menjadi perkiraan utama bagi responden di sini," jelasnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 18 Jan di PRK Kimanis yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan Dun Membakut 13,391 pemilih.

Lihat Komen