malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kadar tol Plus diturunkan 18 peratus tahun ini
ADS

Putrajaya memutuskan bahawa syarikat pengendali lebuh raya terbesar negara ini, Plus Malaysia Bhd (Plus), tidak akan dijual, sebaliknya kekal menjadi milik kerajaan.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sudah menjalankan kajian ke atas semua tawaran dan bidaan dibuat oleh pihak swasta yang berminat untuk membeli Plus.

"Akhirnya kerajaan memutuskan kaedah terbaik ialah tidak menjual Plus kepada sesiapa, sebaliknya mengekalkan ia dengan Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja)," katanya kepada media selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama Mahathir menjelaskan, walaupun tidak dijual, Plus dikehendaki mengurangkan kadar bayaran tol sebanyak 18 peratus.

"Ingat, 18 peratus pada kadar hari ini bermaksud dalam tempoh 30 tahun, [...] kadarnya akan menjadi sangat rendah," katanya.

[Nota editor: Jabatan Perdana Menteri kemudian memberitahu Malaysiakini, apa yang dimaksudkan Mahathir dalam sidang media itu ialah 20 tahun, bukan 30 tahun]

Beliau juga memberitahu, tiada kenaikan kadar tol untuk semua lebuh raya kendalian Plus.

Ditanya sama ada penurunan itu akan dilakukan secara berperingkat, perdana menteri menegaskan ia akan dibuat secara langsung.

"Kita akan berikan diskaun 18 peratus," katanya.

Ditanya bila potongan kadar bayaran itu akan dibuat, beliau menjawab: "Tahun ini."

Plus diminiki oleh syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan sebanyak 51 peratus, manakala KWSP 49 peratus.

Sebelum ini beberapa pihak swasta tampil dengan tawaran untuk membeli konsesi berkenaan bersama janji untuk mengurangkan kadar bayaran tol.

Pengkritik pula mendakwa, kemudahan penting seumpama itu tidak wajar dilepaskan ke tangan pihak swasta. 

Mahathir juga berkata keputusan mengenai Plus itu dibuat secara bersama oleh anggota kerajaan.

"Kami mengambil masa yang lama, ada banyak taklimat, ada sektor swasta buat tawaran dan bidaan juga," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen