malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tiada sebab Majlis Presiden PH tak boleh tetapkan tarikh peralihan PM'
Diterbitkan:  Jan 16, 2020 9:44 AM
Dikemaskini: 2:36 AM
ADS

Tidak ada sebab untuk Majlis Presiden PH tidak menetapkan tarikh penyerah kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, kata pemimpin pemuda PKR hari ini.

Menurut Najwan Halimi berkata hal yang sama pernah berlaku pada 2002.

Ketua Pemuda PKR Selangor itu menjelaskankan semasa Dr Mahathir mengumumkan keputusannya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri dan presiden Umno pemimpin BN meminta beliau agar tidak berbuat demikian serta-merta.

Justeru, kata Najwan, pemimpin parti dalam kerajaan kira-kira 18 tahun lalu berbincang dan menetapkan tarikh untuk Mahathir berundur dan menyerahkan jawatan tersebut kepada penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi.

"Justeru, Mahathir dan Abdullah memutuskan tarikh peralihan jawatan perdana menteri adalah pada 31 Okt 2003.

"Sepanjang tempoh menanti tarikh peralihan kuasa itu, pentadbiran negara berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan isu besar," katanya dalam satu kenyataan.

Isu penggantian perdana menteri semakin melatari kebanyakan perkembangan politik sejak akhir-akhir ini.

Boleh bergerak ke depan

Ketika penyokong Anwar mahu presiden PKR itu dilantik pada Mei tahun ini, Mahathir pula menegaskan beliau tetap menghormati persefahaman PH dan akan melakukannya selepas persidangan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Persidangan antarabangsa itu dijadual berlangsung Nov ini.

Beberapa pihak pula mendakwa, tanpa tarikh yang jelas untuk peralihan kuasa itu, ia membawa kepada ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.

Najwan berkata semua pihak perlu menghormati pendirian serta komitmen Mahathir yang secara konsisten menyatakan akan berundur untuk memberikan laluan kepada Anwar.

"Sama ada peralihan kuasa ini berlaku pada Mei 2020 atau selepas Apec, apa yang mustahak ialah keperluan agar ditetapkan satu tarikh khusus bagi tujuan tersebut.

"Ini penting bagi menghentikan segala spekulasi serta desas-desus politik yang tidak sihat sehingga menganggu urusan pentadbiran kerajaan selain mewujudkan suasana ketidaktentuan dalam kalangan pelabur," katanya.

Pada masa sama, Adun Kota Anggerik itu menyatakan, Anwar sendiri berulang kali menegaskan bahawa beliau mahukan peralihan kuasa berlaku secara aman dan teratur.

"Jika pada 2002, tarikh peralihan kuasa di antara Mahathir dan Abdullah dapat diputuskan dan dilaksanakan dengan baik, maka tiada sebab untuk Majlis Presiden PH tidak dapat menetapkan hal yang sama.

"Muktamadkan segera tarikh peralihan kuasa agar semua pihak boleh terus bergerak ke depan untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tanpa perlu membuang masa melayan spekulasi remeh dan intrigue politik yang tidak berkesudahan," katanya.

Lihat Komen