malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Senator Husam Musa mencadangkan penggunaan serai sebagai penyedut minuman (straw) dan ini dimulakan di hospital kerajaan.

Malah, katanya, beliau juga bersedia membekalkan tanaman serai kepada mana-mana pihak yang ingin menyahut saranan berkenaan.

Menurutnya, penggunaan straw daripada serai adalah sesuatu yang baru dan sebagai permulaan, Kada mewajibkan penggunaan itu di setiap kantin pejabat Kada dan mencadangkan penggunaannya di hospital.

"Tanaman serai mempunyai 27 jenis dan untuk penggunaan sebagai penyedut minuman, serai buluh adalah sesuai.

"Kita akan memajukan penggunannya kepada kafe Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada untuk digunakan oleh orang ramai atau kepada pesakit sendiri kerana ia adalah dari bahan semula jadi.

"Tanamannya juga akan diperbanyakkan iaitu di sepanjang tebing tali air Kada dan dianggarkan lebih 10,000 rumpun sudah ditanam di Kampung Padang Halban," katanya kepada media di melawat Ladang Merdeka Senor, di Pasir Mas, semalam.

Husam berkata selain dijadikan sebagai straw, penggunaan serai buluh juga boleh dijadikan bahan masakan seperti biasa.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat surat rasmi kepada HUSM bagi cadangan itu dalam masa terdekat memandangkan bekalan serai sangat banyak.

"Bagi pencinta alam sekitar, inisiatif serai sebagai penyedut minuman ini amat bagus kerana dapat mengurangkan penggunaan bahan plastik khususnya straw plastik," katanya.

Lihat Komen