malaysiakini logo
story-image
ADS

Negeri Kelantan setakat ini masih bebas daripada penularan jangkitan influenza, kata pengarah kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin.

Bagaimanapun menurutnya, langkah berjaga-jaga tetap perlu dipertingkatkan termasuk dalam kalangan penduduk.

"Setakat ini tiada sebarang kes influenza dilaporkan berlaku di Kelantan.

"Namun, apa yang penting juga adalah kita mengambil langkah pencegahan bagi mengelak berlakunya penularan wabak ini," katanya pada sidang media selepas melawat pusat saringan penyakit pintu masuk antarabangsa di kompleks ICQS, Rantau Panjang.

Sebagai rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) daripada lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember 2019.

Peningkatan ini dikesan di negeri Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu serta Sarawak. Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan, namun kejadian-kejadian wabak tersebut adalah dalam keadaan terkawal.

Sementara itu Dr Zaini berkata, pihaknya memandang serius penularan kes influenza dan memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Katanya, langkah-langkah kesiapsiagaan antaranya memperkukuhkan aktiviti saringan demam terhadap pengembara di tiga pintu masuk antarabangsa negeri di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

"Kita juga memperkukuhkan saringan pesakit di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah pencegahan dan kawalan infeksi," jelasnya.

Lihat Komen