malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Selangor rampas syabu RM2.1j disembunyi dalam bungkusan teh Cina
ADS

Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di negeri itu dengan menahan empat individu dalam satu serbuan di Petaling Jaya, pada Ahad lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam serbuan itu polis Selangor merampas 42 kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disembunyikan dalam 40 bungkusan teh Cina.

Katanya, nilai dadah itu dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

"Serbuan dilakukan kira-kira pukul 8.45 malam di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

"Dalam serbuan itu, tiga suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek lelaki warga asing berumur antara 28 hingga 39 tahun ditahan.

"Selain rampasan dadah, polis turut merampas dua kereta, wang tunai berjumlah RM127,725, 11 utas jam tangan bernilai RM31,000 dan mata wang asing bernilai 7,920 Baht.

"Jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan ini adalah RM259,791," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin.

Mohd Khalil berkata ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan judi.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak lapan bulan lepas dan polis sedang menyiasat sama ada sindiket itu menyasarkan pasaran tempatan atau untuk diseludup ke luar negara.

"Semua suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

- Bernama

Lihat Komen