malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua suspek pengedar dadah Marang ditahan dekat kilang lama
ADS

Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 1,347 biji pil Yaba dan 380 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 bernilai lebih RM25,000 dalam satu serbuan di sebuah kilang lama di Kampung Sungai Serai, Marang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris, berkata lelaki berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjadikan kilang lama itu sebagai lokasi persinggahan sebelum mengedarkan dadah berkenaan kepada pembeli di sekitar Bukit Payung, Kampung Binjai Rendah, dan Wakaf Tapai.

"Dalam serbuan itu, pihak polis telah menjumpai sejumlah 147 biji pil Yaba di dalam 15 tiub straw yang berikat dengan gelang getah di tempat suspek berada.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang turut berada di lokasi tersebut, turut ditemui sebuah sebuah beg berwarna hitam di dalam raga motosikal itu.

"Di dalam beg tersebut turut dijumpai sebanyak 1,200 biji pil Yaba berwarna merah dan hijau, beserta sebanyak 380 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang hari ini.

Mohd Zain berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi melihat sejauh mana rangkaian kegiatan ini,” katanya.

Katanya hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Dalam pada itu Mohd Zain berkata sepanjang tahun 2019 pihak polis menahan seramai 1,021 orang atas pelbagai kesalahan jenayah berkaitan dadah di daerah Marang dan sebanyak 95 peratus daripada jumlah itu telah didakwa di mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen