malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita koma lepas kena samun akhirnya hembus nafas terakhir
ADS

Seorang pekerja butik yang cedera parah selepas disamun dalam kejadian di Persiaran Jenahak 2, Seberang Jaya, pada Nov tahun lepas meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata Nurfarahdila Zulkifli Amin, 32, yang patah tulang leher, pecah bibir dan bengkak di tangan berada dalam keadaan koma selepas kejadian samun itu, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam.

"Dalam kejadian pukul 9.30 pagi 23 Nov tahun lepas, wanita itu sedang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Perda, Bukit Mertajam, sebelum tiba di Persiaran Jenahak 2 dan disamun seorang lelaki bermotosikal.

"Suspek dipercayai menendang motosikal wanita itu sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke tepi jalan sebelum suspek melarikan beg tangan mengandungi telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta sejumlah wang tunai," katanya kepada Bernama, di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang berada di lokasi kejadian cuba mengejar suspek, namun tidak berjaya dan mereka memberi bantuan kepada mangsa sebelum wanita berkenaan dihantar ke HSJ untuk rawatan.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan keterangan saksi, mangsa sempat memberitahu alamat tempat kerjanya dan meminta mereka menghubungi keluarga bagi memaklumkan dia disamun serta mengalami kecederaan.

"Mangsa dirawat di HSJ sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan tulang leher pada 27 Nov dan menerima rawatan di situ sehingga 10 Jan lepas sebelum dipindahkan semula ke HSJ. Sepanjang tempoh berkenaan wanita itu dalam keadaan koma," katanya.

Menurutnya, lelaki yang menyamun mangsa berjaya ditahan empat hari selepas kejadian itu dan suspek - berumur 30 tahun - didakwa di Mahkamah Sesyen Bukit Mertajam pada 20 Dis lepas menurut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai enam rekod lampau itu ketika ini berada di penjara kerana tiada duit untuk membayar ikat jamin.

Polis juga, kata Nik Ros Azhan, mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Polis klasifikasikan semula kes itu selepas mangsa meninggal dunia semalam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

- Bernama

Lihat Komen