BERITA

Polis trafik cedera dirempuh kereta polis pengiring di Kampar

Bernama

14 Jan 2020, 2:09 tengahari

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Seorang anggota polis trafik cedera selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta polis pengiring Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, di Kilometer 20 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, Koperal Mohd Rizal Abdul Rahim dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar cedera kaki kiri.

Katanya, kejadian berlaku apabila Mohd Rizal - yang menunggang motosikal polis jenis Honda CBX - dan dua anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Ipoh - yang menaiki Proton Inspira - sedang mengiringi Raja Nazhatul Shima dari Ipoh ke Makam Raja Bendahara Alang Iskandar (Makam Almarhum Teja) dekat Kampar.

"Apabila sampai di lampu isyarat Lawan Kuda, Mohd Rizal telah berhenti dan menahan kenderaan yang datang dari arah Kampar bagi memberi laluan kepada konvoi Raja Puan Besar Perak.

"Tiba-tiba datang Proton Inspira dipandu oleh L/Kpl Mohd Firdaus Ramli bersama L/Kpl V S Devan Raj membelok dan terus melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal sehingga terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di Kampar, hari ini.

Hasron berkata akibat daripada itu, Mohd Rizal yang cedera telah dihantar ke Hospital Kampar, manakala dua anggota yang menaiki Proton Inspira tidak mengalami sebarang kecederaan.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.