malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rahsia undi tak terjejas walau SPR guna kamera video
ADS

PRK KIMANIS | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan penggunaan kamera video di saluran mengundi pada hari pengundian 18 Jan ini tidak akan menjejaskan kerahsiaan proses undian.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata tujuan utama penggunaan kamera itu adalah untuk memastikan perjalanan proses undian lebih telus dengan meneliti proses tersebut dari mula pengundi memasuki saluran sehingga selesai mengundi.

“SPR juga boleh meneliti semula rakaman video tersebut pada masa hadapan bagi tujuan menambah baik kualiti (proses undian) dan juga pengalaman pengundi mengundi.

"Saya tidak rasa ada orang akan bimbang atau takut kerana kerahsiaan akan tetap dijaga setiap masa, malah ejen calon juga masih berada dalam saluran tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan hari ini, Azhar mengumumkan pengenalan kamera video itu semasa hari pengundian PRK Parlimen Kimanis sebagai satu usaha menambah baik proses pilihan raya yang cekap dan telus.

Menurut Azhar kamera itu akan dipasang di semua 68 saluran terlibat dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

Susulan pengumuman itu, Pemuda Umno Sabah dalam dilaporkan membantah kerana bimbang pemasangan kamera itu akan menakutkan pengundi untuk memilih calon masing-masing.

Mengulas lanjut, Azhar mempersoal tindakan pihak-pihak tertentu yang sering melihat sesuatu inisiatif baru hanya dari sudut negatif.

Beliau berkata niat SPR dalam memperkenalkan inisiatif itu adalah bagi tujuan ketelusan dan bukan untuk menakut-nakutkan pengundi.

“(Rakaman video) ini juga membolehkan kita (menyemak) sekiranya ada tuduhan pengundi hantu, pengundi bertindih dan sebagainya. Kita boleh rujuk semula,” menurutnya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Karim Bujang dan calon BN, Mohamad Alamin.

- Bernama

Lihat Komen