BERITA

'Hapus hukuman mati bak mahu lindungi penjenayah'

Shakira Buang

14 1月 2020, 1:17 下午

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kerajaan digesa untuk mempertimbangkan semula cadangan menghapuskan perkataan "mandatori" bagi hukuman mati untuk kesalahan tertentu.

Jurucakap jawatankuasa khas bagi pemansuhan hukuman mati, Christina Teng, berpendapat sekiranya seseorang pembunuh mempunyai keberanian untuk melakukan perbuatan tersebut, mereka harus juga berani berdepan dengan hukuman mati.

"Inilah undang-undang kita," katanya pada sidang media selepas perjumpaan keluarga mangsa bunuh dengan jawatankuasa itu di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Menurut Teng, keputusan kabinet untuk menghapuskan hukuman mati dan cadangan menghapuskan hukuman mati mandatori adalah cubaan untuk melindungi penjenayah.

"Kebanyakan hakim akan memilih untuk tidak menggantung pembunuh apabila diberi hak budi bicara dan memutuskan hukuman lebih ringan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya tidak membuat pindaan terhadap hukuman paling berat itu dengan meminggirkan keluarga mangsa.

Tak boleh lupa apa jadi

"Sehingga kini, mangsa tidak pernah diberikan platform dan sokongan daripada kerajaan untuk menegakkan keadilan.

"Keluarga mangsa sedih dan berasa dikhianati melihat kerajaan berjuang hanya demi kepentingan penjenayah," katanya.

Terdahulu jawatankuasa khas tersebut - yang terdiri daripada enam individu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum, mengadakan pertemuan lebih dua jam bersama anggota keluarga dan wakil keluarga mangsa pembunuhan.

Antaranya, waris jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya; bekas timbalan pendakwa raya, Kevin Morais; anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Stephen Wong Jing Kui, Chee Gaik Yap, Annie Kok Yin Cheng, serta adik-beradik Nurul Hanim Idris dan Mohammad Hafiz Idris yang dibunuh seorang lelaki dalam kejadian amuk di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, Yan, Kedah pada Januari 2019.

Tan (tengah) semasa bercakap kepada media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang mangsa rogol dan bunuh, Tan Siew Lin, 57, mahu kerajaan memastikan pembunuh anaknya itu menerima nasib yang sama seperti anaknya.

Ibu Chee yang menjadi mangsa rogol dan bunuh oleh Rabidin Satir, berkata hidupnya tidak tenang sejak anaknya menjadi mangsa kekejaman 11 tahun lalu dan hanya akan berasa damai jika penjenayah terbabit digantung.

“Dia mesti kena gantung, saya nak dia mati juga. Kalau dia tak mati, saya akan cari orang untuk hentak dia.

“Saya kerja siang malam, dan hujung minggu saya buat kerja sambilan untuk besarkan dia bagaimana saya boleh lupa apa yang jadi.

“Saya hanya akan tenang bila pembunuh tersebut dibunuh juga. Kalau tak mati, saya akan pergi cari dia bagi mati juga,” katanya.

Hapus mandatori, bukan hukuman

Sementara itu aktivis sosial, Robert Phang, berkata beliau kesal dengan tindakan kerajaan hari ini yang dilihat bersikap sambil lewa menjaga keselamatan negara.

Menurut Phang yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial, usaha kerajaan membuat pindaan undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori akan menjadikan Malaysia syurga seseorang yang mahu melakukan jenayah.

“Kalau undang-undang ini boleh dihapuskan, kita macam mengalu-alukan orang datang ke Malaysia untuk buat kesalahan yang teruk seperti membunuh, merogol, dadah, semualah, masuk (Malaysia).

“Kenapa kita perlu lakukannya? Kita sepatutnya mengambil langkah ke depan. Kita pun sudah berumur, kita mahu Malaysia sebagai tempat yang selamat,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata pindaan terhadap undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori bukan bermakna hukuman itu tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah.

Menurut Hanipa, hanya perkataan "mandatori" yang dicadang untuk dihapuskan, bukannya hukuman itu.

Katanya, pemansuhan itu bukannya terpakai untuk semua kesalahan sebaliknya hanya membabitkan sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.