Pengiklanan

    ‘Tok Pa tak mahu bertanding dalam pemilihan Bersatu’

    (Dikemaskini )
    N Faizal Ghazali  |  Berita

    Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed membuat pengumuman untuk tidak mengambil bahagian dalam pemilihan Bersatu kali ini.

    Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Bersatu bahagian Jeli, Wan Thakormunshi Wan Mustaffa ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

    "Kelmarin Tok Pa (Mustapa) buat perjumpaan dengan pimpinan Bersatu bahagian Jeli dan calon-calon yang akan bertanding pada pemilihan nanti.

    "Beliau sendiri buat pengumuman untuk tidak bertanding pada pemilihan kali ini dan akan tetap menjadi ahli Bersatu," katanya.

    Terdahulu, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menyertai Bersatu pada Oktober 2018 lalu selepas kira-kira sebulan keluar daripada Umno.

    Kini, beliau dilihat sebagai orang lama dalam kancah politik Malaysia sekali gus mempunyai pengalaman panjang khususnya dalam hal ehwal pentadbiran negara dan kesinambungan kariernya akan diteruskan melalui Bersatu.

    Sebagai rekod, Bersatu akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Januari hingga 1 Mac, diikuti peringkat bahagian pada 4 April.

    Sementara itu Wan Thakormunshi berkata, Mustapa juga tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan di peringkat pusat kerana belum memenuhi syarat yang ditetapkan parti.

    "Bagi membolehkan seseorang bertanding di peringkat pusat, ia perlu menjadi ahli biasa melebihi tempoh tiga tahun. Kecuali bagi mereka yang sudah pegang sebarang jawatan dalam anggota jawatankuasa bahagian sebelum ini.

    "Jadi kalau ikut peraturan itu Tok Pa belum layak bertanding bagi sebarang jawatan tertinggi pusat," katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih