malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khazanah, KWSP tidak babit secara rasmi dalam jualan Plus
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM
ADS

Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemilik Plus Malaysia Bhd (Plus), tidak dilibatkan secara rasmi oleh kerajaan dalam penjualan konsesi lebuh raya itu walaupun kerajaan dilaporkan telah mendapat tawaran beberapa syarikat.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dari perspektif tadbir urus, sebarang keputusan membabitkan jualan atau pengambilalihan aset itu perlu dilakukan secara teratur menerusi penglibatan rasmi pihak pemegang kepentingan tersebut iaitu Khazanah dan KWSP.

“Perkara itu tidak pernah dimulakan,” katanya kepada pemberita di luar Forum Integriti 2020 Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) di Putrajaya, hari ini.

Khazanah yang juga dana kekayaan negara memiliki 51 peratus kepentingan dalam Plus menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP.

Selain itu, Shahril Ridza berkata Khazanah dan KWSP tidak pernah menawarkan aset itu untuk dijual, malah tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan pada masa ini.

“Apabila merujuk tawaran yang diterima, wujud sedikit kesilapan kerana tiada sebarang proses bidaan yang dilaksanakan atau wujud pihak pembida.

“Itu semua merupakan tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan berbanding kepada pemegang saham semasa Plus dan kami tidak terbabit dalam sebarang proses jualan aset tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai impak terhadap Khazanah dan KWSP sekiranya kerajaan memutuskan penjualan Plus kepada pihak ketiga, Shahril Ridza berkata apa yang penting adalah untuk memastikan nilai munasabah aset itu dipertahankan.

“Atas alasan inilah kami tidak melayan sebarang tawaran sebelum ini...secara jujur, tawaran itu hanya merendahkan nilai (sebenar) aset berkenaan.”

Beliau bagaimanapun gembira kerana penilaian yang dilakukan oleh kerajaan menerusi sebuah bank pelaburan bebas, adalah seiring dengan nilai semasa Plus.

“Saya amat gembira kerana secara dasarnya, kami berasakan nilai itu telah disahkan oleh perbankan bebas, baik dari pihak kami atau pun di pihak kerajaan,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, Shahril Ridza berkata pemilik Plus perlu menunggu keputusan dasar kerajaan yang akan dimuktamadkan menerusi Kabinet sebelum isu itu dipanjangkan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan pengambilalihan Plus dan empat lebuh raya milik Gamuda di Lembah Klang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu dengan pengumuman mengenainya dibuat selepas mesyuarat tersebut.

- Bernama

Lihat Komen