malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM perjelas kenapa Isa seorang saja didakwa
ADS

KES ISA SAMAD l Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihaknya hanya mendakwa bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad sahaja dalam kes rasuah hasil penjualan Hotel Merdeka Palace, di Kuching, Sarawak semua wang suapan RM3.09 juta itu diberikan kepadanya.

Mohamad Safari Abdullah, 36, berkata bahawa walaupun beliau tidak menemui sebarang jejak aliran wang (money trail) dalam kes itu, namun keterangan daripada individu-individu berkaitan penjualan hotel mendapati bahawa wang RM3.09 juta diserahkan sepenuhnya kepada Isa.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abd Aziz, yang ingin tahu mengapa Mohamad sebagai pegawai penyiasat hanya mencadangkan Isa seorang sahaja untuk didakwa sedangkan peguam bela menegaskan bahawa terdapat bukti kukuh untuk menuduh Ikhwan Zaidel, Zaid Abdul Jalil dan Zahid Md Arip.

"Saya tidak setuju (cadangan menuduh Ikhwan, Zahid dan Zaid) kerana mereka saksi (pendakwaan) dalam kes ini.

“Tiada ada pakatan dan komplot (antara mereka). Siasatan telah mendapati ada keterangan bahawa wang tersebut sampai kepada tertuduh (Isa)," katanya dalam perbicaraan kes rasuah itu, hari ini.

Ikhwan adalah bekas pengarah Gegasan Abadi yang menguruskan penjualan hotel itu manakala Zaid pula adalah bekas ketua pegawai eksekutif Felda Investment Corporation (FIC)

yang menguruskan pembelian bagi pihak FIC.

Manakala, Zahid bekas pembantu khas kepada Isa dilaporan memantau cadangan pembelian hotel atas arahan Isa sendiri.

Selain itu, Ikhwan juga adalah individu yang memberikan suapan RM3.09 juta kepada Isa melalui Zahid.

Menurut pegawai SPRM yang merupakan saksi ke-22 itu, Ikhwan sebagai bekas pengarah Gegasan Abadi, syarikat yang menjual Hotel Merdeka Palace kepada FIC menerima bahagian beliau.

"Saya mendapati Zaid dan Zahid tidak menerima wang suapan Ikhwan. Wang-wang itu kepada yang tertuduh (Isa)," katanya.

Isa, 70, sedang berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima suapan daripada pemilik Hotel Merdeka Palace, Gegasan Abadi, sebagai habuan atas penjual aset tersebut kepada FIC.

Hotel itu dianggarkan bernilai RM153 juta mengikut pasaran semasa tetapi dibeli oleh FIC pada harga RM160 juta.

Sementera itu, Afzainizam memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa raya akan menamatkan perbicaaan hari ini selepas memanggil 22 saksi.

Beliau turut memberitahu bahawa pihak pendakwa raya tidak akan memanggil enam saksi lain. Mereka adakah ahli lembaga FIC Dr Omar Salim, Faizoull Ahmad, Noor Ehsanuddin Mohd Harum Narrashid, NiK Azman Mohd Zain, Dr Mohd Irwan Serigar serta bekas setiausaha Isa, Zuraida Ariffin.

Namun, beliau berkata pihak pendakw araya sedia menawarkan semua mereka sekiranya peguam bela ingin melakukan pemeriksaan balas.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menetapkan 28 Februari untuk pihak pendakwaraya dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis.

Bagi hujahan lisan mahkamah menetapkan 18 Mac tahun ini.

Lihat Komen