malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kadir cadangkan tindak balas lepas India boikot produk sawit Malaysia
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin, hari ini mencadangkan agar Putrajaya bertindak balas jika New Delhi memboikot produk Malaysia ekoran kenyataan dibuat Dr Mahathir Mohamad.

Kata A Kadir selama beratus-ratus tahun negara ini menampung kedatangan imigran dari India.

"Sesetengahnya tinggal di sini untuk sementara tetapi ramai yang terus menetap dan menjadi warganegara.

"Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menganggarkan ada 150,000 ekspatriat dan pekerja dari negara itu di sini sekarang.

"Memandangkan India bertekad mahu menghukum pengimportan produk kelapa sawit Malaysia, kita mungkin perlu meneliti kedudukan ekspatriat dan pekerja India di negara ini, dan produk yang kita import dari India," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Semalam Reuters memetik sumber kerajaan dan industri India sebagai berkata, pengimport minyak sawit menghentikan semua pembelian mereka dari Malaysia.

Menurut sumber langkah berkenaan dibuat selepas kerajaan menggesa mereka memboikot barangan dari Malaysia sebagai reaksi terhadap perbalahan diplomatik membabitkan kedua-dua negara.

"Secara rasmi tiada pengharakan minyak sawit mentah dari Malaysia, tetapi tiada sesiapa membelinya ekoran arahan dibuat kerajaan," kata sumber dari kilang utama India.

Dia juga menjelaskan, India kini mengimport produk sawit dari Indonesia walaupun terpaksa membayar harga premium berbanding barangan dari Malaysia.

India merupakan pengimport minyak sawit terbesar dunia dengan membawa masuk lebih sembilan juta tan setahun, kebanyakannya dari Indonesia dan Malaysia.

Mahathir tidak disenangi New Delhi ekoran kenyataan beliau berhubung perkembangan di Kashmir berpunca daripada undang-undang baru berkaitan pemberian kewarganegaraan untuk pendatang asing bukan beragama Islam.

"Saya fikir kita harus mengembangkan lebih banyak makanan tempatan yang kini kita import dari India dan tempat lain," kata A Kadir lagi.

Lihat Komen