malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Apa beza pembunuhan Soleimani dengan Khashoggi?
Diterbitkan:  Jan 14, 2020 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM
ADS

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan Washington mengenai apa yang menimpa negara itu semasa Perang Vietnam pada 1970-an.

Menulis catatan dalam blognya, perdana menteri berkata, memang AS adalah kuasa besar yang terhebat dalam sejarah manusia dan tenteranya memiliki kemampuan melenyapkan seluruh kemanusiaan.

"Tetapi warga Amerika mesti mengingati Perang Vietnam.

"Dengan kuasa yang hebat, menggunakan semua kekuatan ketenteraannya, semua teknologi dan sejumlah besar wangnya (mereka) dikalahkan oleh orang Vietnam yang berpijama hitam, yang biasa, yang kerdil.

"Berpuluh-puluh ribu tentera Amerika mati. Ramai lagi yang cedera parah pada badan dan fikiran.

"Daripada semua pengorbanan ini, apa yang diperolehi Amerika? Tak ada, langsung tak ada apa-apa yang boleh didapati demi keamanan," katanya.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas tindakan Rumah Putih membunuh komander Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani, yang dibom dron tentera AS di Iraq pada 3 Jan lalu.

Cuma mati sia-sia

Kata perdana menteri, Qasem dimatikan oleh orang yang begitu mengecam pembunuhan wartawan dan penulis Arab Saudi, Jamal Ahmad Khashoggi.

Untuk rekod, Khashoggi 'ghaib' selepas memasuki kedutaan Arab Saudi di Istanbul. Dia yang lantang mengkritik Riyadh dipercayai dibunuh sepasukan pakar yang diterbangkan dari Arab Saudi dalam bangunan berkenaan.

Sehingga kini mayat Khashoggi belum ditemui.

"Adakah apa-apa perbezaan antara pembunuhan Soleimani dengan Khashoggi?" kata Mahathir lagi.

Menurut beliau, rakyat Vietnam berjuang dan mati demi negara itu ketika ia diserang Amerika. Justeru, katanya, ada kewajaran pada apa yang mereka lakukan.

Katanya, penentangan yang sama boleh dijangkakan pada mana-mana negara yang diserang oleh Amerika.

"Tetapi mereka yang yang mengorbankan nyawa dalam perang agresif akan mati sia-sia.

"Ingatlah kepada Iraq juga. Bukankah ia sepatutnya berakhir dalam tempoh tiga bulan? Tetapi ia masih begitu pada hari ini, selepas hampir 18 tahun.

"Saddam sudah mati tetapi adakah Iraq lebih baik berbanding zaman Saaddam?

"Saya tak fikir sistem autokrasi betul, tetapi jika demokrasi adalah jawabannya, menjangkakan ia menghasilkan keajaiban dalam tempoh semalaman adalah kebodohan," katanya.

Lihat Komen