malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hari 8: 'Our leadership' merujuk kepada Najib, kata bekas pegawai JAN
ADS

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang melibatkan dakwaan mengubah laporan audit 1MDB memasuki hari kelapan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


3.40 petang: Pasukan pembelaan Arul Kanda Kandasamy tidak akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan untuk tidak menjejaskan kedudukan bekas CEO 1MDB itu sebagai saksi pendakwaan, dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Ketua peguam N Sivananthan memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di akhir prosiding hari ini.

"Memandangkan mereka (pendakwaan menerusi pernyataan pembukaan di awal perbicaraan) akan memanggil anak guam kami (sebagai saksi), kami menghentikan dulu pemeriksaan balas terhadap semua saksi (pendakwaan). Ia agar tidak menjejaskan kedudukannya sebagai seorang saksi.

"Bagaimanapun jika dia (Arul Kanda) tidak dipanggil untuk menjadi saksi (walau di akhir peringkat pendakwaan), maka kami ada hak memohon untuk memanggul semula (mana-mana saksi pendakwaan) dan memeriksa balas mereka.

"Pada tahap ini, kami menahan dulu pemeriksaan balas semua saksi," kata Sivananthan.

Arul Kanda

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian berkata, mahkamah akan memutuskan perkara itu apabila tiba masanya nanti.

Zaini menetapkan perbicaraan akan diteruskan pada pukul dua petang esok memandangkan ketua DPP Gopal Sri Ram perlu menyelesaikan pemeriksaan utamanya terhadap saksi pendakwaan ketujuh, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara.

Pada perbicaraan esok, pasukan pembelaan Najib akan diberi pilihan untuk memeriksa balas mana-mana saksi yang telah memberi keterangan setakat ini.

Ia termasuklah Saadatul Nafisah, bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, dan bekas pegawai JAN Nor Salwani Muhammad.

Pihak pendakwaan juga ada satu atau dua saksi baru untuk perbicaraan esok.


3.35 petang: "Our leadership" merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak, kata bekas pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Dia berkata demikian kepada DPP Gopal Sri Ram ketika pemeriksaan utama perbicaraan jenayah Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan mengubah laporan audit 1MDB.

Menurut Nafisah, itulah yang dimaksudkan ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa dalam satu mesyuarat penting pada 24 Februari 2016.

Menurut rakaman audio mesyuarat itu yang berdurasi dua jam dan 45 minit, Ali didengar berkata "to take care of our leadership" (untuk menjaga pimpinan kita), merujuk pindaan terhadap laporan audit 1MDB.

Sri Ram: "To take care of our leadership", apa maksud dia (Ali)?

Saadatul Nafisah: (Bekas) perdana menteri kita (Najib).

Sri Ram: Siapa dalam lembaga penasihat 1MDB pada masa itu?

Saadatul Nafisah: Menteri kewangan ketika itu, yang juga Najib.


3.28 petang: Saadatul Nafisah, pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara, berkata jika tidak kerana mesyuarat pada 24 Februari 2016 itu, laporan asal audit 1MDB tidak akan dipinda.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan ketua DPP Gopal Sri Ram.

Sri Ram: Jika mesyuarat itu tak dibuat, barang kes (laporan akhir audit 1MDB yang dipinda) tidak akan wujud?

Saadatul Nafisah: Tidak, ia tidak akan wujud.

Saadatul dan ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang mempertahankan laporan asal audit 1MDB.


3.24 petang: Saadatul Nafisah, pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang telah bersara, dalam keterangannya berkata dia dan ketua audit negara pada masa itu, Ambrin Buang mempertahankan dapatan laporan audit 1MDB yang asal dalam satu mesyuarat penting pada 24 Februari 2016.

Ketika pemeriksaan utama oleh ketua DPP Gopal Sri Ram, Saadatul yang juga saksi pendakwaan ketujuh berkata mereka berbuat demikian walaupun dengan bantahan yang disuarakan oleh mereka yang hadir dalam mesyuarat itu, yang dibuat di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

Saadatul Nafisah

Antara yang hadir ialah bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy, setiausaha sulit kanan Najib, Shukry Mohd Salleh, bekas pegawai Pejabat Peguam Negara Dzulkifli Ahmad, dan Ali Hamsa.

Sri Ram bertanya tentang mesyuarat itu di mana Shukry menyuarakan bantahan terhadap dapatan JAN.

Saadatul Nafisah: Apa yang saya faham pada masa itu ialah dia (Shukry) bercakap tentang percanggahan dalam dapatan kami. Mereka tidak setuju dengan pandangan kami.

Sri Ram: Mereka tak setuju dengan laporan anda?

Saadatul Nafisah: Mereka tidak setuju dengan pandangan kami, pandangan ketua audit (Ambrin). Itu pandangan kami, boleh setuju atau tak setuju. Tetapi sebagai juruaudit, kami perlu beri pandangan kami.

Ketika Sri Ram memintanya menjelaskan perkara itu, Saadatul berkata: "Kami berdua mempertahankan apa yang kami masukkan dalam laporan."

Mesyuarat itu membawa kepada keputusan untuk mengeluarkan beberapa isu kontroversi daripada laporan akhir audit 1MDB.


3.18 petang: Mahkamah selesai memainkan semula rakaman audio mesyuarat 24 Feb 2016.


2.08 petang - Mahkamah Tinggi menyambung semula memainkan rakaman audio berdurasu dua jam dan 45 minit yang dikatakan dirakam pada mesyuarat 24 Feb 2016.

Pada mesyuarat ini, didakwa bahawa keputusan dibuat untuk menggugurkan beberapa isu kontroversi daripada laporan audit akhir 1MDB.


2.05 petang - Najib dan Arul Kanda masuk kandang saksi. Prosiding bermula.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, tidak dapat menghadiri prosiding petang ini.

Peguam bersama Najib, Rahmat Hazlan memaklumkan hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa Shafee berasa tidak sihat awal pagi ini.

Rahmat menambah bahawa Shafee akan menghadiri prosiding esok.

Juga dilihat di mahkamah ialah peguam bela utama Arul Kanda, N Sivananthan dan ketua pendakwaan DPP Gopal Sri Ram.


2.04 petang - Najib melangkah masuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.

Juga dilihat di mahkamah, bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Lihat Komen