malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyiasat SPRM tak temui jejak aliran wang Isa
ADS

KES ISA SAMAD | Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, dia tidak menemui sebarang jejak aliran wang (money trail) dalam sembilan transaksi individu yang terbabit dalam siasat kes Isa Samad.

Bercakap di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Mohamad Safari Abdullah, juga mengakui tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan individu terbabit menyerahkan wang pembantu khas Isa, Muhammad Zahid Md Arip.

Saksi ke-22 pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal balas peguam bela bekas pengerusi Felda itu, Salehuddin Saidin.

Salehuddin: Tak ada sebarang (rakaman) CCTV tunjuk beliau serah wang pada Tan Sri Isa?

Safari: Betul.

Salehuddin: Tak ada dokumen penyerahan wang?

Safari: Ya.

Salehuddin: Tak ada pengesahan daripada SP21 (Zahid) berapa jumlah diserahkan?

Safari: Ya.

Salehuddin: Malah tak ada dijumpai wang yang diserah pada Tan Sri Isa? Jumpa wang semasa siasatan?

Safari: Saya siasat pada 2017, wang (yang terlibat ialah pada) 2014 hingga 2016. Saya percaya duit (sudah) tak ada lagi.

Salehuddin: Wang ditunjukkan tak ada masuk mana-mana akaun?

Safari: Ya.

Salehuddin: Tak ada money trail untuk sembilan transaksi?

Safari: Setuju.

Isa, 70, dibicarakan atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.


Baca Syarikat beri Isa RM3.09 lepas dapat salam


Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dituduh menerima suapan daripada pemilik Hotel Merdeka Palace, Gegasan Abadi Sdn Bhd (Gegasan Abadi), sebagai habuan atas penjual aset tersebut kepada Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Hotel itu dianggarkan bernilai RM153 juta mengikut pasaran semasa tetapi dibeli oleh FIC pada harga RM160 juta.

Bekas pengarah Gegasan Abadi, Ikhwan Zaidel, sebelum ini memberitahu mahkamah, dia menyerahkan wang tunai RM3.09 juta kepada Isa melalui Zahid yang ketika itu berkhidmat sebagai pembantu khas tertuduh.

Zahid juga mengesahkan ada menyerahkan wang tunai diberikan Ikhwan kepada Isa di pejabatnya.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memasuki hari ke-15 hari ini.

Lihat Komen