BERITA

Sekatan kecewakan ramai orang, jejas perdagangan - Mahathir

14 Jan 2020, 6:21 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa sebarang sekatan akan hanya mengecewakan ramai orang termasuk negara, yang dalam perdagangan dengan negara yang terlibat.

Dengan menekankan bahawa beliau tidak percaya dengan sekatan, Perdana Menteri meminta pihak yang berkenaan agar menyelesaikan masalah tanpa menimbulkan sebarang perbalahan.

“Jika anda mengenakan sekatan, anda akan mengecewakan ramai orang. Bukan sahaja Iran… dan (bila) anda mengenakan sekatan terhadap Iran, Malaysia juga menanggung tempiasnya kerana kita kehilangan pasaran kita.

“Jadi masyarakat hendaklah berunding dan menyelesaikan masalah di meja bulat, bukan bergaduh antara satu sama lain dan mengenakan sekatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran susulan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani, komander tentera tertinggi Iran dalam serangan udara oleh AS pada 3 Jan. Dilihat sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika yang membunuh Qassem, Iran kemudian melancarkan lebih sedozen serangan peluru berpandu ke arah dua pangkalan Iraq yang menempatkan tentera AS.

Menurut laporan-laporan berita, pentadbiran AS pada Jumaat (10 Jan) mengenakan sekatan baharu ke atas Iran susulan serangan balas ke atas AS dan tenteranya di Iraq awal minggu itu.

Tindakan hukuman selanjutnya oleh AS disasarkan kepada pelbagai sektor ekonomi Iran termasuk pembinaan, pekilangan, tekstil dan perlombongan, di samping lapan pegawai kanan Iran, yang sesetengahnya telah pun dikenakan sekatan.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.