Pengiklanan

    Lokman Adam gagal ketepikan prosiding komital

    (Dikemaskini )
    Berita

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, menolak permohonan anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, bagi mengketepikan kebenaran yang diperolehi Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

    Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam, Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Lokman dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

    Antara hujah untuk mengketepikan permohonan oleh Lokman itu adalah notis tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, ibu pejabat SPRM, adalah cacat.

    Ini menurutnya, kerana entiti itu tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk berbuat demikian, dan hanya mahkamah mempunyai kuasa dan bidang kuasa sedemikian untuk mengeluarkan notis itu.

    Walau bagaimanapun, Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan oleh pihak lain, selain mahkamah.

    “Mahkamah juga mendapati kenyataan oleh peguam negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden,” katanya.

    Prosiding komital itu susulan Lokman didakwa mengugut saksi dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri, Najib Razak, yang didakwa dengan penyelwengan dana berkaitan 1MDB.

    Saksi itu merupakan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi penting dalam kes berkenaan.

    Hakim berkata mahkamah juga berpuas hati bahawa fakta serta bentuk penghinaan yang didakwa berlaku, telah dibawa kepada perhatian responden (Lokman) dengan secukupnya.

    "Malah perbuatan itu konsisten dengan temuramah video serta tindakan membuat laporan polis terhadap saksi pendakwaan kelapan itu (Amhari Efendi),” katanya.

    Dalam prosiding terdahulu, peguam Lokman,  Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya berkata notis tunjuk sebab itu telah dikeluarkan oleh Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan, Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada anak guamnya.

    Bagaimanapun menurutnya badan itu tidak mempunyai kuasa mahupun bidang kuasa untuk berbuat demikian, dan hanya mahkamah yang memiliki kuasa serta bidang kuasa itu untuk mengeluarkan notis berkenaan dan memanggil responden untuk memberikan penjelasan berhubung perbuatan yang didakwa menghina mahkamah itu.

    Hakim Sequerah menetapkan tarikh 13 Mac untuk mendengar prosiding komital dan 21 Feb ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

    Hakim turut mengetepikan permohonan Shafee untnuk menangguhkan prosiding sementara menantikan rayuan terhadap keputusan hari ini yang dibawa ke Mahkamah Rayuan.

     Shafee memberitahu mahkamah beliau menfail ’certificate of urgency’ untuk Mahkamah Rayuan mendengar permohonan beliau dengan pantas.

    Pada 22 Okt lalu, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dikatakan dilakukannya dua kali pada 25 Sept lalu.

    Dalam permohonan itu, peguam negara memohon perintah supaya Lokman  dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

    Peguam negara berkata pada tarikh itu (25 Sept), responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

    Menurutnya pada hari yang sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

    Peguam negara juga berkata beliau akan memainkan rakaman video berhubung temu bual berkenaan pada pendengaran prosiding komital sekiranya mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

    Katanya, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih