malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua cawangan Bersatu mahu cabar pengerusi Kelantan
ADS

Pengerusi Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor, bakal bakal dicabar seorang ketua cawangan dalam pemilihan bagi menentukan kepemimpinan baru parti itu di bahagian Pasir Puteh.

Ketua Bersatu Cawangan Kampung Temila, Gani Hussin, berkata hasratnya untuk bertanding itu didorong oleh permintaan ahli akar umbi yang mahu melihat perubahan gerak kerja Bersatu bahagian terbabit.

Katanya, pengalaman dalam mendampingi rakyat ketika dalam Umno sebelum ini sudah sebati bagi dirinya dan kini mahu diteruskan selepas menyertai Bersatu.

"Ketika dalam Umno saya cuma pemimpin di peringkat akar umbi, sama seperti sekarang.

"Cuma sekarang ada permintaan dalam kalangan rakyat dan ahli Bersatu supaya saya jadi memimpin bahagian.

"Ramai yang datang temui saya dan minta saya bertanding bagi jawatan ketua bahagian," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu hari ini.

Gani juga mendakwa ahli akar umbi dan orang ramai selesa dengan cara gerak kerjanya termasuk pendekatan menyantuni masyarakat setempat.

Kamarudin Md Nor

Sebagai rekod, jawatan ketua Bersatu Bersatu Pasir Puteh disandang oleh Kamarudin sejak awal penubuhan parti itu, malah beliau merupakan calon PH pada PRU14 lalu bagi Parlimen Pasir Puteh.

Bersatu akan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan agung tahunan serentak dengan pemilihan kepemimpinan tertinggi parti pada 20 Jun depan, manakala persidangan dan pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Januari hingga 1 Mac, diikuti peringkat bahagian pada 4 April nanti.

Difahamkan selain Gani, seorang lagi pimpinan Bersatu bahagian Pasir Puteh turut berhasrat bertanding posisi tersebut sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Sementara itu Gani berkata, dia terlibat dengan gerak kerja parti secara aktif selepas PRU lalu, malah dilantik sebagai mengetuai Biro Infrastruktur dan Alam Sekitar PH Parlimen Pasir Puteh.

"Jadi selepas kira-kira dua tahun turun padang, saya menerima desakan dan mandat oleh rakyat untuk menerajui Bersatu bahagian.

"Saya akan cuba sedaya-upaya dalam usaha memperkasakan parti dan menjadi pemudah cara untuk rakyat di sini.

"Jadi saya menawarkan diri untuk masuk gelanggang dan kita mahu meraikan ruang dan proses demokrasi yang terbuka ini," katanya.

Lihat Komen